30.8 C
Kuala Lumpur
Friday, May 24, 2024

Boost, RHB jalin kerjasama sebagai bank digital

Mesti Baca

PENERAJU teknologi kewangan (fintech) serantau Boost dan rakan konsortiumnya, RHB Banking Group (RHB), menerima kelulusan rasmi daripada Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) untuk memulakan operasi sebagai bank digital, berkuatkuasa 15 Januari ini.

Boost dalam satu kenyataan berkata, konsortium ini akan menjadi bank digital pertama majoriti milik Malaysia untuk memulakan operasi dengan aplikasi bank digital di pasaran tempatan.

“Aplikasi ini direka untuk menangani jurang keterangkuman kewangan bagi golongan yang kurang dan tidak mendapat akses perbankan.

“Konsortium Bank Digital Boost-RHB menerima kelulusan kawal selia lebih awal dari jadual, selepas melalui audit kesediaan operasi menyeluruh yang disahkan oleh BNM.

“Selepas berjaya mempamerkan infrastruktur asas yang teguh dan berdaya tahan bagi bank digital, kini secara rasminya dikenali sebagai Boost Bank oleh Axiata dan RHB (Boost Bank), konsortium ini akan beralih ke fasa ujian alfa yang membabitkan pekerja, keluarga, rakan, dan kumpulan pelanggan terpilih.

“Menjelang pelancaran awam rasmi, bank digital ini akan mempertingkatkan proposisi produknya secara progresif dan memperhalusi pengalaman pengguna bagi membuka jalan kepada era baharu kewangan demi memenuhi pelbagai keperluan semua rakyat Malaysia,” katanya.

Pasukan bank digital ini akan diterajui oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Boost Bank, Fozia Amanulla, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Urusan, Axiata, Vivek Sood,  Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan RHB Banking Group, Mohd Rashid Mohamad dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Boost, Sheyantha Abeykoon.

Fozia Amanulla berkata, pihaknya dengan berbesar hati untuk menerajui pasukan bank digital yang luar biasa ini, sambil membuka jalan, bukan sahaja untuk industri, malah untuk seluruh negara.

Advertisements

“Berakar umbi dalam kepercayaan asas bahawa semua orang berhak menikmati masa depan kewangan yang cerah, kami berazam untuk memacu Malaysia ke zaman keterangkuman kewangan sejati, dengan memanfaatkan potensi kewangan terbaik melalui bank digital kami.

“Disokong oleh gabungan ekosistem dan data konsortium, kami berada pada kedudukan yang unik untuk menawarkan kewangan inklusif.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pengawal selia atas sokongan dan bimbingan berterusan mereka,” katanya.

Sementara itu, Mohd Rashid berkata, kelulusan yang diterima daripada BNM dan MOF adalah pencapaian penting dalam komitmen mereka bersama Boost untuk mewujudkan ekosistem kewangan yang lebih inklusif, terutamanya untuk perniagaan dan individu yang kurang mendapat akses perkhidmatan kewangan di Malaysia.

“Di bawah kepimpinan dinamik Fozia Amanulla dan pasukan perbankan digital yang berpengalaman, kami yakin Boost Bank bersedia untuk menerajui landskap teknologi kewangan digital.

“Bersama-sama, kami akan merealisasikan kemajuan bagi semua, untuk memastikan ekosistem kewangan yang teguh dan inklusif yang bakal memberi manfaat kepada semua dalam komuniti kami,” katanya.

Konsortium Bank Digital Boost-RHB yang mana Boost menguasai 60 peratus ekuiti dan baki 40 peratus dikuasai RHB, adalah antara 5 pemohon lesen yang berjaya diumumkan oleh BNM pada April 2022.

Apabila konsortium ini memulakan operasinya secara berperingkat berikutan penyelesaian audit kesediaan operasi, Malaysia akan meraih manfaat daripada keterangkuman kewangan yang lebih besar. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

ADUN Sungai Bakap daripada Pas, Nor Zamri meninggal dunia

AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap dalam Parlimen Nibong Tebal, Nor Zamri Latiff disahkan meninggal dunia tengah hari...

Lagi Artikel Berkaitan