27.7 C
Kuala Lumpur
Tuesday, May 7, 2024

PPNS gesa NAFAS bayar segera hutang lebih RM2 juta

Mesti Baca

PERTUBUHAN Peladang Negeri Sabah (PPNS) menggesa Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) segera membayar hutang yang dilaporkan mencecah lebih RM2 juta.

Presiden Kehormat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pitas, Datuk Seri Dr Ruddy Awah, berkata tindakan NAFAS melengahkan pembayaran hutangnya sejak dua tahun lalu menyebabkan PPNS dibebani kos perkhidmatan yang tinggi.

Katanya, perkara itu tidak wajar berlaku dan pengurusan NAFAS tidak seharusnya membiarkan PPNS menanggung beban kewangan hingga menjejaskan usaha membangunkan ahli peladang di negeri ini.

“Kita menggesa supaya NAFAS menyelesaikan perkara ini dengan kadar segera.

“Tunggakan hutang tidak patut berlaku sekiranya pegawai kanan NAFAS menjalankan tugas dengan penuh amanah dan tanggungjawab dalam memproses setiap tuntutan PPNS selepas menyelesaikan kerja yang diamanahkan berdasarkan perjanjian yang telah dimeterai,” katanya dalam satu kenyataan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pitas itu, mengulas keputusan PPNS membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Jumaat lalu berhubung kegagalan pegawai kanan NAFAS dalam menyelesaikan hutang yang mencecah lebih RM2 juta.

Advertisements

Katanya, beliau menyokong tindakan itu sebagai satu usaha bagi memastikan perbuatan tidak bertanggungjawab pegawai NAFAS dalam soal pembayaran hutang kepada PPNS tidak berulang pada masa depan.

Ruddy yang juga Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah berharap kerajaan Persekutuan terutama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut melihat perkara itu demi melindungi lebih 100,000 ahli dari 26 PPK di Sabah.

Beliau berkata, ahli PPK tidak wajar dibiarkan teraniaya disebabkan perbuatan tidak amanah pegawai kanan NAFAS yang boleh merugikan PPNS hingga akhirnya tiada keuntungan untuk memberikan dividen dan bonus kepada ahli.

Jumaat lalu, Ahli Jemaah Pengarah PPNS, Datuk Ng Loi Tect pada satu sidang media menjelaskan, jumlah hutang NAFAS itu termasuk sewaan gudang baja dan semua pembayaran yang dituntut PPNS berkaitan kerja pembekalan serta penghantaran baja kepada ahli pertubuhan itu di seluruh Sabah.

Katanya, laporan yang dibuat bagi meminta SPRM menyiasat beberapa pegawai NAFAS yang disyaki ada kepentingan lain sehingga sengaja melengahkan proses pembayaran kepada PPNS yang menyebabkan tunggakan bayaran selama dua tahun. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

MASA, IDS jalin kerjasama bidang penyelidikan, masyarakat

INSTITUT Kajian Pembangunan (Sabah) IDS dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA), hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bertujuan menjalin...

Lagi Artikel Berkaitan