MENTERI Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang amat kecewa dan mengutuk keras kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad yang mempersoalkan kesetiaan masyarakat India kepada negara.
Beliau berkata, sebagai seorang negarawan yang telah bersama membina negara bangsa, bekas Perdana Menteri itu sepatutnya menjadi ejen perpaduan negara dalam menyebarkan mesej kebersamaan.
“Saya menyeru kepada semua lapisan masyarakat termasuk pemimpin politik
untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang menyentuh sensitiviti
agama dan kaum sekali gus boleh menimbulkan kebencian.
“Pemimpin politik seharusnya menjadi teladan dalam memupuk nilai-nilai
perpaduan, muhibah dan semangat kebersamaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, Dr Mahathir mendakwa masyarakat India Malaysia masih tidak setia sepenuhnya kepada negara ini kerana mereka masih ‘terikat’ dengan negara asal mereka.
Bercakap dalam temu bual eksklusif secara dalam talian dengan saluran TV satelit India, Thanthi TV, beliau berkata, seseorang itu harus dikenali sebagai orang Melayu untuk berhak untuk menganggap Malaysia sebagai negara sendiri.
Aaron berkata, rakyat di negara ini harus mempelajari, memahami dan mengambil teladan daripada peristiwa sejarah yang pernah dilalui oleh Malaysia agar perpaduan serta keharmonian antara kaum yang dirasai sekarang dapat terus dinikmati.
Katanya, negara ini telah dibina atas dasar kebersamaan melalui Kontrak Sosial yang telah membawa kemerdekaan.
“Dalam menyatupadukan rakyat yang pelbagai kaum, agama, etnik dan budaya di negara ini, pemimpin terdahulu telah mendukung wadah integrasi nasional berbanding asimilasi.
“Kini sudah pun lebih 60 tahun merdeka, rakyat masih mengekalkan nilai Perpaduan dalam Kepelbagaian sebagai resam hidup… Ingatlah, kepelbagaian itu adalah kelebihan dan kekuatan,” kata beliau. – Edisi 9