KAWASAN Rukun Tetangga (KRT) kini tampil dengan logo baharu sebagai usaha memperkukuhkan identiti dan peranan dalam memperkasakan perpaduan di peringkat akar umbi.
Logo yang diperkenalkan Kementerian Perpaduan Negara itu membawa tema Memperkasa Komuniti, Memperkukuh Perpaduan sekali gus menggantikan logo lama yang digunakan sejak tahun 2005.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, penjenamaan semula KRT bukan sekadar perubahan visual tetapi lambang komitmen kementerian untuk terus mengukuhkan semangat kejiranan dalam kalangan rakyat Malaysia.
“Logo baharu ini menandakan nafas baharu buat gerakan KRT. Ia selaras dengan matlamat kementerian untuk membentuk masyarakat yang harmoni, inklusif dan progresif,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Majlis pelancaran logo baharu itu disempurnakan oleh Aaron sempena Sambutan Jubli Emas KRT di Segamat, Johor semalam.
KRT mula ditubuhkan pada tahun 1975 sebagai langkah strategik pasca insiden 13 Mei 1969 untuk menyatupadukan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama. Ia diwujudkan bagi memupuk semangat kejiranan dan menangani isu setempat melalui pendekatan komuniti.

Sejak penubuhannya, Aaron berkata, KRT dilihat berjaya menyemarakkan perpaduan melalui pelbagai program sosial dan kebudayaan yang dijalankan di peringkat komuniti.
Selain itu, katanya, pelaksanaan Skim Rondaan Sukarela (SRS) turut menyumbang kepada pengurangan kadar jenayah setempat serta menggalakkan budaya kesukarelawanan dalam masyarakat.
Antara inisiatif lain termasuk kelas tuisyen percuma, program pembangunan remaja dan belia, bantuan kepada golongan memerlukan serta aktiviti kebajikan wanita.
“Malah, ketika negara berdepan krisis seperti pandemik COVID-19, pasukan KRT turut turun padang membantu mengagihkan bantuan makanan dan memberikan sokongan moral kepada penduduk yang terkesan,” katanya.
Sehingga kini, terdapat sebanyak 8,529 KRT aktif di seluruh negara.
Logo baharu KRT dibina berasaskan bentuk segi lima sekata yang melambangkan lima prinsip Rukun Negara.
Di tengah logo, lima figura manusia yang berganding bahu mewakili kepelbagaian kaum di Malaysia yang hidup dalam suasana muafakat.
Figura tersebut digambarkan dalam bentuk garisan putih bersambung, mencerminkan nilai ketelusan, perpaduan dan kepercayaan antara rakyat pelbagai latar belakang.
Warna merah pula melambangkan semangat jati diri rakyat Malaysia yang teguh mempertahankan keamanan dan keharmonian negara.
Aaron yakin logo baharu ini mampu memberi imej segar kepada KRT dan mengangkat peranan komuniti sebagai ejen utama perpaduan nasional.
“Kami menyeru seluruh rakyat agar terus menjunjung nilai-nilai perpaduan dan menjadikan Rukun Negara sebagai panduan bersama demi masa depan Malaysia yang aman dan makmur,” ujar beliau. – Edisi 9

