KECEMERLANGAN yang ditunjukkan oleh Siti Fairuz Rohaliza Ejahar telah berjaya memperkukuhkan reputasi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di persata institusi pendidikan tinggi di negara ini.
Ini berikutan kejayaan alumni UPSI itu meraih Anugerah Siswi Cemerlang 2025 oleh Persatuan Siswazah Wanita Malaysia (PSWM), baru-baru ini.
Lebih membanggakan, Siti Fairuz juga merupakan graduan pendidikan turut menerima Anugerah Pelajaran Diraja sempena Istiadat Konvokesyen UPSI Ke-26, sekali gus meletakkan beliau antara graduan paling cemerlang dalam sejarah universiti berkenaan.
Menurut PSWM, Anugerah Siswi Cemerlang yang mula diperkenalkan sejak 1993 bertujuan mengiktiraf siswazah wanita yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah menyerlah dalam aspek kepimpinan, keterlibatan masyarakat, sahsiah diri serta pemikiran kritis.
“Siti Fairuz merupakan lambang siswazah wanita ideal yang seimbang antara kecerdasan intelek, kekuatan peribadi dan tanggungjawab sosial.
“Inilah model graduan yang kita mahu tonjolkan sebagai agen perubahan dan suri teladan generasi akan datang,” kata PSWM dalam kenyataan baru-baru ini.

Majlis penganugerahan berprestij itu disempurnakan oleh Penaung PSWM, Toh Puan Dr. Aishah Ong.
PSWM berkata, Siti Fairuz berjaya memikat hati panel penilai menerusi pencapaian akademik luar biasa serta penglibatan aktif dalam aktiviti kokurikulum, kepimpinan mahasiswa dan kerja-kerja komuniti.
Malah, ketokohan dan empatinya turut menjadikannya sumber inspirasi kepada rakan-rakan seperjuangan.
Sementara itu Siti Fairuz berkata, anugerah yang diterima bukan miliknya semata-mata, sebaliknya merupakan hasil usaha dan sokongan semua pihak.
“Anugerah ini bukan hanya milik saya, tetapi milik semua pendidik, keluarga dan insan yang menyokong saya sepanjang perjalanan ini.
“Ia adalah satu tanggungjawab untuk terus menyumbang kembali kepada masyarakat dan negara,” katanya.
Kejayaan Siti Fairuz sekali lagi membuktikan peranan penting UPSI dalam melahirkan modal insan yang bukan sahaja berilmu dan berkemahiran, malah berintegriti dan berjiwa rakyat. – Edisi 9

