Thursday, June 4, 2026

PM sampaikan syarahan umum, terima Ijazah Kehormat MGIMO

Anugerah Ijazah Doktor Kehormat sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan Anwar dalam memperjuangkan keamanan, perpaduan dan nilai kemanusiaan sejagat.

Mesti Baca

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa dunia kini sedang berdepan bukan sahaja dengan cabaran teknologi dan peralihan kuasa global, malah turut bergelut dengan krisis nilai dan kehilangan arah moral yang semakin membimbangkan.

Berucap dalam syarahan umum bertajuk Bridging Worlds In A Fractured Age di Moscow State Institute of International Relations (MGIMO) sempena lawatan rasmi beliau ke Rusia, Anwar menekankan pentingnya generasi muda menguasai teknologi baharu seperti kecerdasan buatan dan tenaga boleh diperbaharui, namun tetap berpaksikan kepada nilai dan ihsan.

“Generasi akan datang mesti mampu menyesuaikan diri dengan kemajuan teknologi, namun jiwa mereka tidak boleh kosong daripada nilai, adab dan belas ihsan. Itulah cabaran sebenar zaman ini,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa gagasan Madani yang diperkenalkan kerajaan Malaysia menawarkan pendekatan holistik yang mengimbangi kemajuan material dengan kekuatan spiritual dan budaya.

“Pendekatan ini selari dengan semangat Russian Soul yang begitu menghargai kekayaan budaya dan kemanusiaan. Dalam zaman yang sarat kegoncangan, kita perlu kembali kepada asas nilai dan peradaban,” katanya.

Anwar Ibrahim menyampaikan syarahan umum di Moscow State Institute of International Relations, Rusia hari ini. – Foto PMO

Terdahulu, Perdana Menteri dan delegasi Malaysia mengadakan pertemuan dengan Rektor MGIMO, Prof. Anatoly Torkunov.

Dalam pertemuan itu, pihak MGIMO menyatakan minat untuk menjalin kerjasama akademik dengan Universiti Malaya dan beberapa institusi pengajian tinggi lain di Malaysia.

“Malaysia amat mengalu-alukan usaha MGIMO untuk memperluaskan kepakaran dalam hal ehwal ASEAN, bidang pertanian, bahasa dan pertukaran pelajar. Kita juga berhasrat menghantar diplomat muda kita menimba ilmu di MGIMO,” ujar Anwar.

Dalam majlis sama, MGIMO turut menganugerahkan Ijazah Doktor Kehormat kepada Perdana Menteri sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan beliau dalam memperjuangkan keamanan, perpaduan dan nilai kemanusiaan sejagat.

“Saya terima penghormatan ini bagi pihak seluruh rakyat Malaysia yang menjunjung tinggi nilai kemanusiaan, keamanan dan perpaduan sejagat,” katanya.

Dalam ucapannya, Anwar turut menyatakan kekaguman beliau terhadap kesusasteraan Rusia yang menurutnya telah menyumbang besar kepada pemikiran kemanusiaan sejagat.

“Daripada psikologi moral Dostoyevsky, renungan falsafah Tolstoy, ironi halus Chekhov hingga puisi getir Anna Akhmatova, semua ini memperkaya bukan sahaja jiwa Rusia, tetapi juga nurani umat manusia sejagat yang kini semakin terhakis,” tambahnya.

Perdana Menteri turut menyentuh pertemuan beliau bersama Presiden Vladimir Putin yang berlangsung dalam suasana saling menghormati dan keterbukaan.

“Prinsip kesetaraan yang dizahirkan dalam pertemuan tersebut menjadi asas penting dalam membina dunia yang lebih adil dan aman,” katanya.

Syarahan di MGIMO menutup program lawatan rasminya ke Moscow sebelum beliau meneruskan perjalanan ke Kazan bagi menghadiri Mesyuarat Kumpulan Visi Strategik Russia-Islamic World dan menyertai Kazan Forum. – Edisi 9

Terkini

Hektar HEIT cadang ambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East

HEKTAR REIT bercadang mengambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East (KYSKLEIS) pada nilai RM125 juta bagi memperkukuhkan aliran pendapatan...

Lagi Artikel Berkaitan