PENYANYI Kaka Azraff mengakui terkilan apabila syarikat rakaman, Warner Music Malaysia tidak memberikan sebab dan penjelasan yang lebih terperinci berhubung penamatan kontraknya secara tiba-tiba pada 1 Disember lalu.
Kaka berkata, pihaknya tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang berhubung kesan selepas penamatan kontrak sekiranya tiada jalan penyelesaian.
“Sebagai artis rakaman dan antara paling lama bersama Warner Music Malaysia, saya percaya seharusnya saya diberikan penjelasan rasmi mengapa pihak pengurusan memutuskan untuk menamatkan kontrak.
“Saya tidak terkilan kontrak ditamatkan kerana percaya rezeki Allah luas.
Namun, saya terkilan kerana ia ditamatkan secara tiba-tiba tanpa menyatakan sebab jelas atau ruang perbincangan walaupun tempoh notis diberikan selama 30 hari,” katanya.
Kaka berkata, dia ada menemui pihak pengurusan pada 30 November lalu, namun mereka hanya memintanya menandatangani surat penamatan kontrak.
“Kami ada berjumpa, tetapi bukan berbincang. Saya tidak tandatangani surat sebab saya perlu memperhalusi terma bersama peguam.
“Pengurusan hanya memberitahu tindakan saya bercanggah dengan polisi global,” katanya.
Kaka berkata, tindakannya membalas hantaran menerusi mesej langsung kepada pelakon Australia, Nathaniel Buzzolic, sekali gus menolak dakwaan menyebarkan perkara itu sebagai ucapan kebencian (hate speech).
“Saya bukan antisemantik dan tidak bersifat perkauman seperti didakwa. Saya hanya meluahkan pendapat peribadi kepada individu itu, bukan memberikan komen secara terbuka.
“Saya akui, mungkin pilihan kata-kata saya agak keras, tetapi itu menggambarkan kemarahan saya pada waktu itu.
“Mungkin saya seharusnya memilih kata-kata lebih sopan, namun saya tidak nafikan soal ini. Saya tidak mahu memandang ke belakang lagi,” katanya pada sidang media mengenai hal itu, malam tadi.
Sementara itu, peguam mewakili Kaka iaitu Aidil Khalid dari Tetuan Amelda Fuad Abi & Aidil berkata, ketidakadilan secara terangan berlaku apabila kontrak hanya memberikan keuntungan kepada pihak label, malah Warner Music Malaysia turut meletakkan klausa baharu.
“Kita buka ruang berbincang dengan Warner Music Malaysia kerana selepas penamatan kontrak ada kesan terhadap Kaka.
“Jika perbincangan berjalan dengan baik, kami boleh selesaikan dengan baik. Kalau sukar mendapatkan persetujuan, kemungkinan kes ini akan dibawa ke mahkamah, namun masih terlalu awal untuk bercakap soal ini,” katanya.
Aidil berkata, perjanjian rakaman antara Kaka dan Warner Music Malaysia sepatutnya masih berbaki beberapa tahun dengan opsyen atau pilihan untuk diperbaharui serta dilanjutkan daripada semasa ke semasa seperti kontrak sebelum ini sejak 2018 lagi.
“Bagaimanapun, Kaka diserahkan dengan satu Notis Penamatan oleh pihak pengurusan Warner Music Malaysia pada 1 Disember lalu.
“Seperti diteliti, Notis Penamatan itu hanya memaklumkan bahawa ia akan berkuatkuasa pada 31 Disember ini, iaitu tempoh notis selama 30 hari, tetapi tidak menyatakan sebab mengapa ditamatkan.
“Namun, tiada sebarang sebab munasabah diberikan oleh pihak pengurusan dalam Notis Penamatan, jadi kami meminta mereka mereka menjelaskan perkara ini.
“Adakah penamatan disebabkan oleh mesej langsung Kaka yang bersimpati terhadap rakyat Palestin serta menempelak Israel?
“Sekiranya tidak benar, maka sila nafikan dan berikan sebab mengapa penamatan kontrak Kaka diputuskan sedemikian,” katanya.
Terdahulu, kontraknya Kaka bersama Warner Music Malaysia didakwa ditamatkan gara-gara kelantangannya mengecam tindakan tidak berperikemanusian dilakukan Israel terhadap Palestin.
Kemelut Kaka bersama syarikat rakaman tercetus apabila Kaka meninggalkan komen secara mesej langsung kepada pelakon Australia pro-Israel, Nathaniel Buzolic mengecam perkongsian lelaki itu dalam Instagram Story.
Tindakan Kaka meraih perhatian pempengaruh popular itu yang kemudiannya memuat naik semula tangkap layar butiran mesejnya.
Difahamkan, kontrak Kaka dan Warner Music Malaysia ditamatkan walaupun sepatutnya berakhir pada April tahun depan.
Dalam pada itu, Warner Music dalam satu kenyataan, mengesahkan penamatan kontrak Kaka disebabkan ‘penggunaan bahasa tertentu’ yang tidak disenangi syarikat rakaman itu.
Menurutnya, tindakan itu selepas Kaka meninggalkan mesej pada akaun Instagram seorang pelakon, Nathaniel Buzolic.
“Kaka Azraff adalah seorang artis yang sangat berbakat tapi malangnya, kami terpaksa berpisah dengannya disebabkan penggunaan bahasa tertentu dalam mesej langsung yang dipaparkan dalam talian.
“Warner Music tidak menghalang hak bersuara mana-mana artis di bawah naungan kami.
“Walaupun kami dengan teguh memperjuangkan hak kebebasan bersuara oleh artis di bawah naungan kami, namun sesiapa yang bertindak dengan cara sedemikian, tanpa mengira kumpulan, bangsa, atau agama, kami akan turut membuat keputusan yang sama,” kata Warner Music. -Edisi 9