29.6 C
Kuala Lumpur
Monday, May 6, 2024

Hina Raja: Ahli Parlimen Thailand dipenjara

Mesti Baca

MAHKAMAH Thailand hari ini menjatuhkan hukuman penjara enam tahun kepada seorang ahli Parlimen dari Parti Move Forward (MFP) atas tuduhan menghina Raja.

Rukchanok Srinork didapati bersalah kerana menghina Raja, juga dikenali sebagai lese majeste dan melanggar Akta Jenayah Komputer kerana menyiarkan semula dua mesej di aplikasi X.

Parti berkenaan memenangi kerusi terbanyak dalam pilihan raya umum pada Mei lalu tetapi disekat daripada membentuk kerajaan oleh pasukan konservatif yang menentang ikrarnya bagi memperbaharui undang-undang fitnah kerajaan.

“Rakchanok Srinork dijatuhi hukuman penjara tiga tahun atas tuduhan 112 (menghina Raja) dan tiga tahun atas tuduhan Akta Jenayah Komputer,” kata ketua MFP, Chaithawat Tulathon kepada AFP.

Mahkamah kemudiannya mengeluarkan kenyataan bagi mengesahkan pertuduhan dan hukuman terbabit.

Mahkamah juga mengumumkan untuk membenarkan Rakchanok, 29, diikat jamin 500,000 baht (RM65,743).

Advertisements

Rukchanok sebelum ini popular kerana dilihat membawa basikalnya mengelilingi jalan sesak di Bangkok ketika berkempen untuk pilihan raya lalu.

Thailand mempunyai beberapa undang-undang menghina Raja yang paling ketat di dunia, bagi melindungi Raja Maha Vajiralongkorn dan keluarga terdekat daripada dikritik.

Tetapi menurut pengkritik, tindakan itu menghalang perbezaan pendapat.

Akta Jenayah Komputer juga dikritik oleh kumpulan hak asasi manusia kerana memberikan kuasa yang terlalu luas kepada pihak berkuasa untuk menyekat kebebasan bersuara.

Sebelum ini, terdapat peningkatan dalam pertuduhan di bawah undang-undang yang dikenali di Thailand sebagai ‘112’ selepas bahagian kanun jenayah yang berkaitan – sejak protes jalanan pro-demokrasi yang dipimpin oleh belia pada tahun 2020.

Pihak berkuasa sudah mendakwa lebih 250 aktivis dengan 112 dan memenjarakan beberapa pemimpin tertinggi termasuk Anon Numpa, seorang peguam hak asasi manusia yang sebelum ini mewakili Rukchanok. -Agensi

Advertisements

Terkini

Agamawan perlu hormati bidang kepakaran dan autoriti hukum

Oleh PROF MADYA DR MOHD ANUAR RAMLI MUTAKHIR ini timbul pelbagai isu berkaitan persoalan hukum dan melibatkan para agamawan. Para agamawan...

Lagi Artikel Berkaitan