26.6 C
Kuala Lumpur
Sunday, May 5, 2024

Bakat tak dihargai, Liza Hanim pernah terdetik berhenti menyanyi

Mesti Baca

PENYANYI Liza Hanim, 44, mendedahkan dia pernah terdetik untuk berhenti menjadi penyanyi disebabkan terdapat segelintir pihak yang tidak percaya dengan bakatnya.

Namun begitu, dia memadam perasaan itu selepas memikirkan masih ada peminat yang sentiasa memberikan sokongan dan ingin melihatnya untuk terus menyanyi.

“Ada momen dalam kerjaya seni saya merasakan seperti sudah tiba masanya untuk berhenti menjadi penyanyi, tapi ada segelintir kumpulan peminat yang masih percaya dengan bakat seni saya dan mahukan saya untuk terus menyanyi.

“Pasukan saya itu termasuklah media yang masih percaya dengan saya dan itu yang membuatkan saya meneruskan kerjaya ini,” katanya.

Liza berkata demikian ketika ditemui pada sidang media selepas konsert akhir All Stars Gegar Vaganza (ASGV), yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, malam tadi.

Pelantun lagu Gelisah Mimpi itu berkata, perasaan sama berulang kembali ketika dia mengalami waktu yang agak sukar dalam program berkenaan.

“Sepanjang saya berada dalam program ini (ASGV) saya sedar kalau mereka minat seseorang artis itu, mereka akan sokong bermatian-matian dan kalau tidak suka mereka akan cakap mereka tak suka.

“Pun begitu, saya menerima semua ini dengan hati yang terbuka dan menganggap komen kurang senang itu tandanya mereka sayang pada saya.

Advertisements

“Beberapa minggu lalu ketika saya mengalami waktu yang agak mencabar dalam program ini, perasaan itu (berhenti menyanyi) datang semula, tetapi saya perlu perasaan itu untuk memberikan yang terbaik di final ASGV,” katanya.

Liza berkata, semua itu akan dikongsikan pada konsert sulung Liza Hanim 27 Years Journey In Concert yang bakal berlangsung tahun depan.

“Saya ingin kongsi rasa susah senang dan jatuh bangun sebagai penyanyi pada konsert itu nanti.

“Penyanyi lain, mungkin 10 tahun sudah buat konsert, sedangkan saya tiada peluang itu jadi saya akan kongsikan semuanya pada malam konsert itu nanti.

“Kadang-kadang saya terfikir adakah saya layak atau tidak mengadakan konsert kerana sokongan bercampur baur, ada yang sokong ada juga yang tidak,” katanya lagi.

Terdahulu, ASGV menobatkan Jaclyn Victor sebagai juara yang membawa pulang RM200,000.

Manakala Liza mendapat tempat keempat dengan jumlah markah 72.34 peratus.

Finalis lain yang terbabit ialah Hady Mirza, Nikki Palikat, Naqiu, Azharina, Tomok dan Siti Nordiana. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

USANITA pilih Awal Ashaari sebagai wajah untuk 2024

ATAS komitmen terbaik yang diberikan dalam memberikan kerjasama terhadap pelbagai program yang dijayakan oleh Usanita Sdn Bhd (USANITA), pelakon...

Lagi Artikel Berkaitan