25.5 C
Kuala Lumpur
Friday, May 3, 2024

‘Syif Malam’ kisah tiga rakan sepejabat berdepan gangguan seram

Mesti Baca

BEKERJA syif, selalunya yang paling tidak digemari apabila tiba giliran syif malam.

Apatah lagi pada yang sudah berkeluarga. Banyak dugaan yang dilalui tatkala terpaksa bekerja mencari rezeki pada waktu orang lain sedang lena diulit mimpi.

Lagi-lagi terpaksa berhadapan dengan gangguan yang menyeramkan dan menakutkan di tempat kerja.

Ia memberi inspirasi kepada syarikat Empire Film Solution Sdn Bhd dan Thinkerbell Studios Sdn Bhd untuk menghasilkan sebuah filem seram berjudul Syif Malam.

Penerbitnya, Mohamad Zubir Badar Shair berkata, idea menerbitkan Syif Malam timbul selepas menonton satu drama pendek yang tular di saluran YouTube Awanimbus beberapa tahun lalu.

“Menerusi drama pendek berdurasi 14 minit itu, saya lihat konsep dan jalan ceritanya cukup menarik dan menyeramkan, malah ia sudah ditonton sebanyak 1.6 juta penonton pada waktu itu.

“Kemudian, timbul idea untuk dikembangkan pula menjadi sebuah filem, tambahan pula genre seram cukup digemari penonton sekarang ini,” katanya.

Diarahkan oleh Fairus Anuar, Syif Malam menampilkan barisan pelakon seperti Taqim Zaki, Anas Ridzuan, Shahkimin, Zera Hariz, Kamarul Eqifshah, Sobri Anuar, Riezman Khuzaimi, Ismeth dan Mili Supina.

Zubir berkata, dia yakin filem yang berkisar tentang warga kerja syif malam diganggu perkara mistik ini mampu menarik perhatian peminat filem bergenre seram.

“Tidak dinafikan pasti ada segelintir daripada kita yang pernah berhadapan dengan pengalaman seram ketika bekerja waktu malam.

Advertisements

“Mungkin juga apa yang dipaparkan dalam filem ini sama seperti yang pernah dilalui oleh mereka yang mengalami situasi berkenaan,” katanya.

Sementara itu, pengarahnya Fairus Anuar berkata, Syif Malam adalah adaptasi daripada drama pendek yang pernah dihasilkan olehnya bersama rakan-rakan dan mendapat maklum balas positif dari penonton.

Pertama kali mengarah filem, apa yang menarik tentang naskhah ini ia menggabungkan elemen ‘fiksyen seram’ (horror fiction) dan ‘komedi gelap’ (dark comedy) yang sudah lama tidak disajikan dalam karya tempatan.

“Filem seram ini disampaikan dalam bentuk komedi gelap. Saya juga memasukkan elemen realisme bagi menghidupkan jalan cerita di mana ianya memaparkan situasi pekerja yang terpaksa melayan kerenah birokrasi di pejabat ditambah lagi gangguan mistik pada waktu malam.

“Mengekalkan konsep dan naratif yang sama dengan drama pendek terdahulu, cuma lokasi dan cerita berbeza.

“Saya juga mengekalkan seorang pelakon dari drama pendek itu cuma wataknya berbeza,” katanya.

Ditanya pengalaman sama ada terjadi sebarang kejadian seram sepanjang penggambaran, Fairus berkata, semuanya berjalan dengan lancar tanpa berlaku perkara- perkara yang tidak diingini.

“Alhamdulillah, dengan izin tuhan semuanya dipermudahkan. Tiada kejadian seram yang berlaku sepanjang penggambaran di lokasi.

“Saya lebih pentingkan keselamatan semua orang dan tidak mahu mengambil risiko dengan memilih lokasi yang tidak selamat untuk mengelakkan sebarang gangguan sehingga boleh menjejaskan waktu penggambaran,” katanya.

Syif Malam akan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai 7 Disember ini. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

Akhyar Rashid disamun, cedera di kepala akibat dipukul

PEMAIN bola sepak kebangsaan, Akhyar Rashid cedera di kepala dan kaki selepas menjadi mangsa samun di Kuala Terengganu sekitar...

Lagi Artikel Berkaitan