NAMA pelakon popular Datuk Aaron Aziz sudah cukup sinonim dengan penampilannya dalamnashkah filem yang bertemakan cinta.
Dengan pengalamannya yang cukup meluas dalam dunia lakonan, ternyata Aaron diberi peluang untuk mengarahkan sebuah filem cinta berjudul Sayu Yang Syukur.
Aaron berkata, pembabitannya dalam filem terbabit selaku pengarah bermula selepas ditawarkan sendiri oleh Penerbit Eksekutif, Allahyarham Datuk Gulzar Mohamad Noor Mohamed atau lebih dikenali sebagai Mohd Atlas pada tahun 2015.
“Pada awalnya saya diberikan peluang untuk berlakon sahaja, namun arwah kemudian menawarkan pula untuk saya mengarahkan filem ini.
“Saya merasakan ia satu peluang yang tidak harus dilepaskan memandangkan saya belum pernah mengarahkan sebuah filem cinta,” katanya.
Diterbitkan oleh syarikat Nusanbakti Production, Sayu Yang Syukur adalah filem kedua arahan Aaron selepas Romeo Kota.
Sayu Yang Syukur adalah sebuah filem konflik percintaan penuh dramatik yang turut menampilkan Aaron selaku pelakon, selain Nora Danish dan Arja Lee sebagai teraju utama.
Aaron berkata, apa yang membuatkan dia tertarik untuk mengarahkan filem berkenaan apabila dia diberi kebebasan oleh pihak penerbit, terutama dari segi pemilihan pelakon dan olahan skrip.
Katanya, dia juga menggunakan pengalaman yang ada ketika berlakon di bawah arahan pengarah-pengarah hebat seperti Kabir Bhatia, Osman Ali dan Erma Fatima.
“Untuk skrip saya membuat 90 peratus olahan berbanding skrip asal dengan memasukkan idea-idea baharu agar filem ini mempunyai kelainan dengan filem cinta yang lain.
“Begitu juga dengan pemilihan pelakon apabila saya diberi sepenuh kepercayaan untuk memilih barisan pelakon yang saya inginkan,” katanya.
Tambahnya, untuk mengarahkan sebuah cinta bukanlah sesuatu kerja mudah memandangkan genre sebegitu lebih bermain kepada emosi dan perasaan yang mendalam.
Malah, ia turut memberikan cabaran tersendiri buat dirinya apabila bertindak selaku pengarah dan pelakon dalam masa yang sama.
“Apabila menjadi pengarah, banyak benda yang saya perlu jaga. Mana nak berlakon, jaga dialog, jaga lokasi bagi memastikan semuanya berjalan lancar.
“Memang ia sesuatu yang agak mencabar. Apapun saya bersyukur dan berterima kasih kerana mendapat kru produksi yang banyak membantu sepanjang penggambaran serta pelakon yang memberikan komitmen yang sangat baik untuk menjayakan filem ini,” katanya.
Pada masa sama, Aaron meluahkan keyakinan Sayu Yang Syukur ini akan diterima baik penonton, terutama sekali peminat-peminat filem bercorak cinta.
Katanya, penonton juga akan berpeluang melihat sisi lakonannya yang berbeza dalam filem arahannya itu nanti.
“Setakat ini saya lihat tidak banyak filem-filem cinta yang dihasilkan. Penonton sekarang lebih banyak disajikan dengan naskhah bergenre aksi dan komedi.
“Menerusi filem ini akan ‘mengubat’ kerinduan mereka yang mahukan filem cinta yang menyentuh perasaan dan boleh membuatkan air mata mengalir ketika menonton,” katanya.
Filem ini akan menemui penonton di seluruh negara apabila ditayangkan di pawagam mulai 28 Disember ini. -Edisi 9