27.5 C
Kuala Lumpur
Sunday, April 28, 2024

PM ambil tindakan tegas pihak yang kaitkannya dengan Israel

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak terutama Pas, melalui lidah rasminya, akhbar Harakah, kerana mengaitkannya dengan Israel.

Anwar berkata, parti itu dilihat ‘membina mahligai atas pusara’ dengan memaparkan naratif buruk terhadapnya, sedangkan kerajaan bertungkus-lumus membantu rakyat di Palestin susulan kekejaman dilakukan oleh zionis Israel.

Perdana Menteri menjelaskan yang beliau marah terhadap paparan gambar berlatarbelakangkan bendera Israel dan ia perlu diperbetulkan Harakah.

“Mengapa saya marah? Gambar saya di belakangnya bendera Israel, YB harus faham yang YB juga keras dan marah dengan Israel, sayapun begitu.

“Tidak apa hendak tegur, hendak marah, kritik saya dalam soal lain saya terima dengan baik.. tetapi dalam hal ini, jangan,” ujarnya.

Terdahulu Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) bangkit mencelah untuk semua Ahli Parlimen bersama dalam isu Palestin dengan kedua-dua pihak menghapuskan sebarang tularan tidak perlu, sebaliknya menumpukan usaha membantu mereka dalam apa cara sekalipun.

Sebelum itu, Ahmad Saad@Yahaya (PN-Pokok Sena) membangkitkan Peraturan Mesyuarat 36 dengan meminta Perdana Menteri menarik semula perkataan biadab dan kurang ajar yang ditujukan kepada Dewan Ulama Pas.

Advertisements

Ahmad merujuk kepada laporan akhbar Harakah bertajuk Malaysia di bawah Anwar ragu-ragu sokong Palestin?’ yang disifatkannya sebagai persoalan dan bukan tuduhan.

Melalui laporan itu juga, terdapat gambar Perdana Menteri berlatarbelakangkan bendera Israel yang sengaja diletakkan kononnya cuba mengaitkan beliau dengan Israel.

Berikutan itu, Perdana Menteri mahu semua pihak termasuk pembangkang bergerak ke depan dan bersama membawa idea serta tindakan dalam isu Palestin bagi mengurangkan beban ditanggung rakyat negara itu.

Anwar juga Ahli Parlimen Tambun, berkata dalam hal berkaitan Palestin, pihaknya tidak pernah menyinggung Pas berikutan mengetahui pendirian parti itu yang sangat konsisten sejak dulu dalam menyokong rakyat negara berkenaan.

“Saya setuju dalam hal ini, saya tidak pernah menyinggung Pas kerana saya tahu pendirian Pas, sangat konsisten dalam Palestin… tidak mahu berbalah dalam soal ini kerana derita ditanggung mereka (Palestin) tidak pernah berlaku separah ini dalam sejarah.

“Mari kita bersama membawa idea dan tindakan supaya dapat meleraikan atau mengurangkan beban mereka,” katanya pada sesi waktu pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Sultan Selangor ingatkan jemaah haji kekalkan disiplin diri

SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan bakal-bakal haji dari negeri itu agar mengekalkan disiplin diri semasa berada di...

Lagi Artikel Berkaitan