PENGGUNA Facebook dan Instagram di negara-negara Kesatuan Eropah (EU) kini boleh menikmati rangkaian sosial itu tanpa iklan dengan melanggan versi khas yang dikenakan caj sehingga €12.99 (RM65.56).
Menurut Meta, syarikat induk pemilik Facebook dan Instagram, versi rangkaian sosial tanpa iklan itu sebagai cara untuk mematuhi peraturan privasi data blok itu.
“Bermula pada November, pengguna yang menggunakan komputer atau desktop boleh membayar €9.99 (RM50.43) sebulan manakala pengguna Apple iOS atau Android akan dikenakan bayaran €12.99 (RM65.56).
“Harga yang lebih tinggi mencerminkan komisen lebih tinggi dikenakan oleh aplikasi Apple dan Google pada pembayaran dalam aplikasi,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan.
Bayaran itu akan meliputi semua akaun Facebook dan Instagram yang dipautkan sehingga Mac dan Meta akan mula mengecaj €6 (RM30.28) untuk setiap akaun tambahan di laman web dan €8 (RM40.37) untuk telefon pintar.
Meta melancarkan pilihan langganan selepas mahkamah tertinggi EU memutuskan di bawah peraturan privasi data EU, syarikat tidak boleh menggunakan butiran peribadi untuk menyasarkan orang awam kepada iklan melainkan ia mendapat persetujuan mereka terlebih dahulu.
Cara utama syarikat itu menjana wang adalah untuk memadankan iklan bagi pengguna individu berdasarkan minat dalam talian dan aktiviti digital mereka. -Agensi

