26.4 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 30, 2024

Orang ramai jangan terpedaya tawaran perkhidmatan bayaran JPN

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

ORANG awam diingatkan agar tidak mudah terpedaya dengan pihak yang menawarkan perkhidmatan melibatkan urus niaga Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), lebih-lebih lagi tawaran perkhidmatan yang mengenakan sebarang bayaran.

Ketua Pengarahnya, Zamri Misman berkata, JPN ingin merujuk beberapa halaman, akaun di platform media sosial terutamanya Facebook yang kerap kelihatan kebelakangan ini cuba menawarkan khidmat berbayar untuk mendapatkan dokumen-dokumen pengenalan diri yang dikeluarkan oleh Jabatan ini.

“Pihak tidak bertanggungjawab tersebut didapati memanipulasi platform media sosial untuk menjerat dan memperdaya orang awam terutamanya pendatang asing yang baru tiba dan tidak faham dengan prosedur rasmi pemilikan dokumen pengenalan diri di Malaysia.

“Halaman dan akaun yang diwujudkan menggunakan poster dan gambar-gambar rasmi JPN yang boleh didapati secara umum di internet bagi memperlihatkan halaman tersebut sebagai akaun yang sahih untuk berurusan.

“Hasil risikan mendapati modus operandi sindiket ini bermula dengan memaparkan hantaran di Facebook yang menawarkan perkhidmatan menguruskan permohonan di JPN dengan kadar bayaran tertentu.

“Hantaran-hantaran tersebut dipaparkan dalam jangka masa yang pendek dan kemudiannya dipadamkan bagi mengelakkan kegiatan ini dihidu oleh pihak berkuasa,”katanya menerusi kenyataan hari ini.

Advertisements

Berikutan itu katanya, jabatan ini mengambil serius dan tidak berkompromi sama sekali terhadap tindakan pihak yang tidak bermoral ini.

“Selain poster peringatan berkaitan scammer ini sering dikongsikan di media sosial rasmi JPN, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan JPN sentiasa memantau dan melakukan risikan ke atas halaman atau akaun media sosial yang didapati cuba menipu masyarakat dengan menggunakan nama JPN dan menawarkan perkhidmatan palsu.

“Pengguna media sosial juga boleh mengambil tindakan melaporkan kepada pihak berwajib, sebarang halaman yang meragukan dan bertentangan dengan garis panduan komuniti platform media sosial berkenaan bagi mengelakkan lebih ramai pihak terpedaya,”katanya.

Tegasnya, tiada sebarang khidmat ejen atau orang tengah untuk mewakili jabatan bagi setiap urusniaga dan perkhidmatan.

“Hadir sahaja ke mana-mana 212 pejabat JPN untuk mendapatkan maklumat mengenai prosedur permohonan atau khidmat nasihat berkaitan.

“Untuk pengetahuan umum dan maklumat awal berkaitan perkhidmatan JPN, orang ramai boleh merujuk soalan-soalan lazim di laman web rasmi JPN melalui pautan https://www.jpn.gov.my/my/soalan-lazim/soalan-lazim atau hubungi JPN di talian 03-8880 7077 atau emel ke [email protected],”katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Mahkamah lulus permohonan bekas kakitangan Utusan Melayu

SELEPAS hampir lima tahun tiada sebarang berita mengembirakan buat bekas kakitangan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad yang ditamatkan perkhidmatan selepas...

Lagi Artikel Berkaitan