29.2 C
Kuala Lumpur
Sunday, April 28, 2024

USANITA lancar program ‘Bridge to Brilliance – USANITA ft Jakarta’

Mesti Baca

DALAM usaha memajukan aspek perniagaan dan pembangunan sosioekonomi usahawan tempatan, USANITA Sdn Bhd (USANITA) akan melancarkan program Bridge to Brilliance – USANITA ft Jakarta.

Program berkenaan yang disasarkan menjadi platform terbaik untuk memupuk kerjasama di antara usahawan Malaysia dan Indonesia.

Ia dirancang dilaksanakan dalam pelbagai kaedah, termasuk kerjasama membabitkan produk dan perkhidmatan yang disokong oleh inisiatif kedua-dua kerajaan.

Ketua Pegawai Eksekutif USANITA, Datuk Adzliana Hasan, memaklumkan program yang dijadual bermula Januari depan itu akan memberi peluang ahli USANITA khasnya dan usahawan Malaysia umumnya untuk belajar dan berkolaborasi dengan usahawan dari Indonesia.

“Usahawan Malaysia perlu aktif meneroka pasaran di Indonesia, manakala usahawan dari negara seberang juga harus melakukan perkara sama.

“Dengan jumlah penduduk lebih 300 juta di kedua-dua negara, perkongsian ini menyediakan platform amat besar untuk meneroka pasaran di peringkat ASEAN dan global,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, Jakarta adalah langkah pertama USANITA memainkan peranan sebagai jambatan untuk usahawan sebelum meneroka kerjasama dengan Thailand dan Filipina.

“Tumpuan kita ketika ini adalah Indonesia dan saya yakin inisiatif ini akan memberi manfaat ekonomi kepada kedua-dua negara melalui peningkatan hasil jualan produk dengan usaha sama usahawan.

Advertisements

“Kerjasama yang bakal dimeterai juga dijangka menarik pelaburan dalam industri kecantikan dan makanan di mana usahawan Indonesia mempunyai kepakaran dan telah mencapai kejayaan besar,” katanya.

Beliau menjelaskan, walaupun kerjasama sama telah wujud, USANITA mampu melakukan pembaharuan dengan memanfaatkan rangkaian dan platform perniagaan yang telah dibina.

“Menerusi rangkaian luas dan platform perniagaan yang kukuh, inisiatif USANITA ini pasti akan memberikan impak yang signifikan. Inisiatif strategik ini juga selari dengan matlamat ekonomi Malaysia yang lebih besar.

“Kolaborasi ini bukan sahaja memanfaatkan usahawan yang terbabit, tetapi akan turut menghasilkan peluang pekerjaan dan meningkatkan ekonomi negara,” katanya.

Katanya lagi, pihaknya juga bakal menganjurkan bengkel dan majlis pertemuan antara usahawan kedua-dua negara.

“Ia akan menjadi platform untuk mereka saling bertukar pendapat, meneroka kerjasama dan membina asas untuk perkongsian perniagaan berpanjangan.

“USANITA akan turut berkongsi kisah kejayaan dan menerangkan bagaimana kerjasama antara usahawan mampu meningkatkan perniagaan di negara dan rantau lain,” katanya.

Adzliana turut berharap inisiatif itu akan menyuntik inspirasi dan mendorong lebih ramai usahawan untuk aktif bekerjasama dalam dunia perniagaan rentas sempadan. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

Pelajar UPSI adakan program bakti bersama gelandangan

SEKUMPULAN pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengadakan program khidmat bakti bersama golongan gelandangan di Pusat Transit Gelandangan Kuala...

Lagi Artikel Berkaitan