SEBUAH bot gentian kaca (fiber) ditahan bersama 21 bubu naga ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Kurau di kedudukan 1.5 batu nautika barat daya muara Kuala Kurau Perak, pagi tadi.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd. Najhan Azman Hamid berkata, bot tersebut dikesan ketika seorang nelayan tempatan sedang leka menarik bubu naga.
Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati bot terbabit tidak memiliki lesen yang sah dan sebanyak 21 bubu naga ditemui berada di dalam bot terbabit.
“Kesemua bubu naga, nelayan dan bot ditahan serta dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Kurau untuk tindakan lanjut.
“Nilai rampasan kesemua bubu naga itu adalah berjumlah hampir RM1,500,” katanya menerusi Facebook hari ini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 8(a) Akta Perikanan 1985 kerana mengendalikan atau membenarkan dikendalikan apa-apa vesel perikanan tanpa lesen yang sah.
Mohd. Najhan berkatam kes turut disiasat di bawah Seksyen 11(3)(a) akta yang sama iaitu mengendalikan atau membenarkan dikendalikan apa-apa belat ikan atau peranti mengumpul ikan tanpa lesen yang sah.
“Maritim Malaysia menyeru kepada semua komuniti maritim khususnya nelayan agar sentiasa mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan demi kesejahteraan dan kelestarian ekosistem marin negara,” katanya. – Edisi 9