Sunday, June 14, 2026

Syarikat besar UAE sedia tambah pelaburan di Malaysia – PM

Mesti Baca

Ahmad Shazwan Md Yusof
Ahmad Shazwan Md Yusof
Wartawan Edisi 9

SYARIKAT-SYARIKAT besar dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) menyatakan hasrat untuk menambah pelaburan sedia ada di Malaysia.

Perkara tersebut dinyatakan ketika sesi pertemuan antara 40 wakil-wakil dari 21 syarikat-syarikat besar termasuk ADNOC, TAQA, MASDAR, Al-Dahra, Lulu dan DP World bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam.

“Saya dimaklumkan, ramai di antara mereka yang telah melabur di Malaysia, berhasrat untuk menambah pelaburan sedia ada dimana Majlis Pelabur Antarabangsa UAE serta Dewan-Dewan Perniagaan Abu Dhabi dan Dubai turut bersama kami.

“Saya turut berkongsi mengenai bagaimana Malaysia berjaya menarik pelbagai pelaburan baharu dari syarikat-syarikat terkemuka global seperti Tesla, Infineon, Geely dan sebagainya.

Anwar mengadakan pertemuan bersama 40 wakil-wakil dari 21 syarikat-syarikat besar di Dubai, UAE, semalam. – Edisi9/Anwar Ibrahim

“Yang sama penting, Pelan Halatuju Peralihan Tenaga Baharu (NETR) dan juga Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP2030) bakal mengukuhkan asas industri dan perniagaan di Malaysia,” katanya menerusi catatan di Facebook malam tadi.

Perdana Menteri kini dalam rangka lawatan kerja selama dua hari bermula semalam.

Sementara itu, Anwar berkata, Malaysia telah lama menjalinkan hubungan yang akrab dengan UAE, terutama sekali dengan Abu Dhabi.

“Saya juga menekankan pentingnya perkongsian strategik bukan sahaja di dalam satu atau dua sektor tetapi di dalam pelbagai sektor.

“Industri halal dan kewangan Islam Malaysia adalah satu sektor di mana banyak kerjasama boleh dijalin, dan saya berkongsi bahawa negara juga menekankan konsep keadilan sosial melalui pelaksanaan industri halal.

“Insya-Allah, jalinan perhubungan dua hala antara Malaysia dan UAE ini akan terus ditambah baik,” ujarnya. – Edisi 9

Terkini

Pemimpin korporat perlu kuasai AI, elak ketinggalan

PEMIMPIN korporat di Malaysia perlu segera menguasai dan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dalam operasi harian organisasi bagi memastikan mereka...

Lagi Artikel Berkaitan