PENYANYI Jeryl Lee Pei Ling, membanggakan negara apabila dinobatkan juara program realiti TV, The Next 2023 di China, Sabtu lalu.
Jeryl Lee, 23, yang berasal dari Pulau Pinang mengalirkan air mata gembira ketika diumumkan sebagai pemenang dan menyifatkan pengalaman itu di luar jangkaannya.
“Terasa bagaikan mimpi. Setiap kali rasa mahu mengalah, saya beritahu diri sendiri untuk terus cekal, kerja keras dan saya boleh lakukannya.
“Kali ini, saya boleh cakap dengan yakin saya berjaya lakukannya. Saya tidak akan hampakan anda semua,” katanya menerusi hantaran yang dimuat naik dalam Instagram.
Jeryl Lee berkata, The Next 2023 adalah pertandingan terbaik pernah disertainya.
Dia tidak ketinggalan mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada jurulatih, kareografer dan pasukan produksi yang tidak putus-putus memberinya semangat ketika bertanding.
Katanya, sesiapa sahaja berhak menggapai impian dan tidak sepatutnya berputus asa mengejar cita-cita.
“Apa sahaja yang anda impikan untuk di capai, beranikan diri dan kejarlah. Jangan gentar atau putus harapan dengan mudah.
“Kalau saya boleh lakukannya, anda juga pasti boleh,” katanya.
Hantaran mengenai kemenangannya itu dimuat naik di Instagram mendapat pujian rakan artis termasuk Vanessa Reynauld, Choo Hao Ren dan Priscilla Abby.
Jeryl Lee mula berjinak dalam nyanyian sejak berusia lapan tahun. Dia juga sudah mencuba nasib dalam pelbagai pertandingan di China.
Dia pernah memenangi pertandingan nyanyian remaja, Water Cube Cup China pada 2014. Namanya kian popular sejak 2016 selepas menjadi finalis program Sing! China. -Edisi 9