34.5 C
Kuala Lumpur
Monday, April 29, 2024

PEKEMA jalin kerjasama dengan DFMIEC rangsang perkembangan EV

Mesti Baca

MAHU mengubah landskap automotif di Malaysia dan mempercepat pertumbuhan industri kenderaan elektrik (EV) di rantau ini, Persatuan Pengimpot dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) dan Dongfeng Motor Industry Imp. & Exp. Co., Ltd. (DFMIEC) menjalin kerjasama dengan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU).

Menerusi kerjasama bersejarah ini, DFMIEC yang juga anak syarikat kepada pengeluar kereta terkemuka di China, Dongfeng Motor Corporation (DFMC), mempunyai visi bersama untuk merangsang perkembangan EV.

Di samping itu, ia turut berusaha mempercepat pembangunan ekosistem EV yang kukuh, bukan hanya di Malaysia tetapi juga di rantau yang lebih luas.

PEKEMA, sebuah pertubuhan terkenal dengan sejarah yang cemerlang selama lebih empat dekad dalam pengimportan dan perdagangan kenderaan dari negara-negara maju, kini mengubah pendekatan perniagaannya dengan menyokong teknologi EV terkini.

Timbalan Presiden merangkap Pemangku Presiden PEKEMA Malaysia, Datuk Mohamed Nazari Noordin berkata, kerjasama antara PEKEMA dan DFMIEC menunjukkan kesungguhan kedua-dua pihak dalam berkongsi dan menyelaraskan diri dengan industri automotif yang sedang berkembang.

Melalui kerjasama dengan syarikat milik negara China, PEKEMA akan memulakan satu perjalanan yang tidak hanya bakal mengubah hala tuju persatuan, tetapi juga akan memberi sumbangan yang besar ke arah masa depan elektrifikasi Malaysia.

“Kerjasama PEKEMA dengan DFMIEC, adalah satu langkah besar dalam misi kami untuk membuka era mobiliti yang lebih mesra alam di Malaysia.

“Landskap EV di Malaysia berada di lingkungan pertumbuhan yang luar biasa, dan kerjasama ini meletakkan kami di puncak perubahan. Ini adalah satu peristiwa bersejarah untuk membentuk semula masa depan pengangkutan di tanah air,” katanya.

PEKEMA dan DFMIEC akan bersatu tenaga untuk mengkaji dan mengemudi dalam landskap pasaran EV yang sentiasa berubah di Malaysia dan rantau Asia Tenggara.

Kerjasama ini tidak hanya akan memperkenalkan penyelesaian pengangkutan yang inovatif dan mesra alam, tetapi juga akan memberikan dorongan kepada pertumbuhan ekonomi serta peluang pekerjaan, seiring dengan visi kerajaan Malaysia untuk masa depan yang lebih lestari.

“Pencapaian cemerlang dan pengalaman luas DFMIEC dalam industri automotif memberikan nilai tambah yang besar kepada inisiatif ini. Dengan fokus yang kukuh pada penyelidikan dan pembangunan, DFMIEC telah menunjukkan komitmen dalam penghasilan pelbagai jenis kenderaan penumpang, kenderaan komersial, kenderaan tenaga baharu, dan komponen asas.

“Selain itu, DFMIEC telah memulakan usaha yang berani untuk memperluaskan kehadiran mereka dalam pasaran EV di luar negara, terutamanya di Malaysia, di mana potensi besar untuk kenderaan elektrik pacuan kanan masih belum dimaksimumkan sepenuhnya,” kata Nazari.

Melalui kerjasama strategik ini, PEKEMA dan DFMIEC bertekad melakukan keperluan penting seperti memperkuatkan saluran penjualan untuk EV di Malaysia dan memperluaskan ke pasaran di rantau Asia Tenggara.

Selain itu, PEKEMA dan DFMIEC juga akan berkerjasama menyelidik pelaburan bersama dalam pembinaan fasiliti pemasangan dan pengeluaran kenderaan elektrik di Malaysia.

Ini termasuk bekerjasama erat dengan pihak-pihak berkenaan di Malaysia untuk menyelaras proses pengimportan kenderaan dan menggalakkan pembangunan ekosistem kenderaan elektrik.

Kerjasama ini juga bakal meningkatkan peranan PEKEMA dalam mempromosikan pelbagai jenama dan produk kenderaan, serta membina rangkaian perkhidmatan selepas jualan yang lengkap.

Bukan itu sahaja, jalinan kerjasama ini juga bakal memulakan pelaburan bersama dalam pengeluaran dan pemasangan komponen-komponen kenderaan elektrik, sekaligus berusaha untuk mendapatkan insentif-insentif khas dari kerajaan Malaysia.

Acara menandatangani MOU antara PEKEMA dan DFMIEC adalah satu peristiwa bersejarah yang sangat penting. Ia melambangkan komitmen PEKEMA kepada masa depan yang lebih bersih, lebih hijau, dan lebih mampan bagi Malaysia dan Asia Tenggara.

Advertisements

Kerjasama ini juga menandakan perubahan besar dalam model perniagaan PEKEMA, kerana persatuan itu mula beralih dari pengimportan tradisional kepada revolusi mobiliti elektrik.

“Kami, bersama-sama dengan DFMIEC, mempunyai cita-cita untuk memimpin usaha dalam memajukan mobiliti elektrik dan ekosistem tenaga baharu.

“Kami yakin usaha ini akan memberikan sumbangan yang besar kepada pertumbuhan dan kemakmuran Malaysia dan juga rantau Asia Tenggara yang lebih luas,” katanya lagi.

Sementara itu, Pengurus Besar Bahagian Pemasaran PV Oversea DFMIEC, Zhao Xiaojie berkata, model NEV RHD pertama mereka akan dilancarkan di pasaran sekitar pertengahan tahun depan.

“Hari ini, kami berkumpul di Malaysia sebagai hentian pertama bagi kerjasama model RHD.

“Keputusan ini telah dipertimbangkan dengan teliti dalam konteks sokongan besar kerajaan Malaysia kepada NEV dan kesungguhan kerjasama rakan kami,” kata Xiaojie.

Katanya, pada masa akan datang, DFMIEC akan terus berusaha untuk menyokong proses elektrifikasi Malaysia dan memberi keutamaan kepada pengeluaran tempatan di Malaysia bagi membawa lebih banyak produk EV yang lebih baik kepada negara-negara ASEAN.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii), Azrul Reza Aziz berkata, pengintegrasian teknologi EV ke dalam ekosistem automotif Malaysia adalah langkah penting menuju kelestarian alam sekitar.

“EV menawarkan alternatif yang lebih bersih dan hijau kepada kenderaan tradisional berasaskan enjin pembakaran dalam.

“Dengan menerima EV, kita menyumbang kepada pengurangan pelepasan gas rumah hijau dan membantu Malaysia memenuhi komitmen untuk masa depan yang lebih mampan,” katanya.

Katanya lagi, EV mewakili teknologi canggih, prestasi yang lebih unggul, dan kos operasi yang lebih rendah.

Kerjasama dengan syarikat terkemuka dari China akan membawa teknologi canggih ini ke Malaysia, memastikan negara kita kekal unggul dalam arena automotif global.

“China Dongfeng Motor Industry Import & Export Co. Ltd., yang beribu pejabat di Wuhan, Hubei, adalah pengeluar kereta berstatus kerajaan yang terkemuka dan salah satu kumpulan automobil terbesar di China.

“Keputusan mereka untuk berkerjasama dengan PEKEMA memberikan petanda yang kuat tentang potensi teknologi kenderaan elektrik dan kelebihannya bagi negara kita,” katanya.

Tambahnya, kerjasama ini melambangkan komitmen kolektif PEKEMA untuk membina ekosistem automotif yang mampan, canggih dari segi teknologi, dan bersaing di peringkat global.

“Ia sejajar sepenuhnya dengan visi MARii untuk menggerakkan transformasi industri automotif Malaysia menjadi pemain utama di pentas dunia,” katanya.

Majlis yang berlangsung di Wisma Yayasan PEKEMA di Cyberjaya itu membuktikan komitmen padu oleh PEKEMA dan DFMIEC dalam meningkatkan hubungan dua hala dan menyokong pertumbuhan industri kenderaan elektrik di rantau ini. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

PRK KKB: Giliran calon PH tayang keputusan UPSR, SPM

SELEPAS calon Perikatan Nasional (PN), Khairul Azhari Saut menayangkan sijil akademik pengajiannya, kini giliran calon Pakatan Harapan (PH) pula...

Lagi Artikel Berkaitan