24.9 C
Kuala Lumpur
Sunday, April 28, 2024

Aspek pengurusan bekalan air terawat tidak wajar dipolitikkan

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

ASPEK pengurusan sumber air dan bekalan air terawat tidak wajar dipolitikkan kerana ia adalah hak setiap warga Malaysia untuk mendapat bekalan air bersih.

Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, secara purata, penggunaan air per kapita harian oleh rakyat di Malaysia adalah tinggi iaitu, purata 201 liter setiap orang sehari berbanding 165 liter mengikut saranan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Peningkatan ketara jumlah pengguna harian dan pihak industri tentunya memberikan cabaran besar kepada kerajaan negeri untuk menampung kapasiti penggunaan air di sebalik keterbatasan kewangan kerajaan negeri.

“Kerajaan Perikatan Nasional sebelum ini telah menggariskan strategi komprehensif bagi memastikan sumber air sentiasa diurus dengan baik, selamat dan terjamin demi generasi akan datang.

“Ini termasuk komitmen untuk mengangkat agenda mentransformasi sektor air menerusi Pelan Transformasi Sektor Air 2040 (WST 2040).

“Berikutan itu, bagi memastikan keberkesanan pengurusan sumber air, sistem pemantauan bersepadu antara Kerajaan Pusat dan Negeri perlulah diperkasakan,”katanya pada Mesyuarat Ketiga Sidang Parlimen Ke-15 bagi Perbahasan RUU Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (PINDAAN) 2023 di Dewan Rakyat hari ini.

Muhyiddin berkata, sebagai usaha memastikan kelestarian sumber air, kerajaan menerusi kerjasama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) harus mempergiat proses pembesaran dan menaik taraf loji-loji air di seluruh negara.

Advertisements

“Penstrukturan semula industri perkhidmatan air negara dapat memastikan pengoperasian loji rawatan air dan pengagihan air yang lancar tanpa gangguan.

“Melalui pemantauan berterusan, punca bekalan air kerap terputus dan sumber air mentah yang tercemar dapat dikenal pasti segera, sekaligus mengurangkan insiden pencemaran.

“Tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas perlu diambil terhadap mana-mana pihak yang disabitkan kesalahan mencemari sistem bekalan air menerusi pindaan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006.

“Pada masa sama, kadar air tidak terhasil (NRW) perlu diberi penekanan khusus. Ini kerana secara puratanya sebanyak 37.2 peratus NRW atau hampir 7 juta liter sehari dibazirkan dengan anggaran kerugian mencecah RM2 bilion setahun,”katanya.

Katanya, Kerajaan Pusat haruslah bersikap adil dalam soal penyediaan utiliti asas secara cekap dan berterusan kerana setiap rakyat Malaysia berhak mendapat bekalan air bersih untuk menjalani kehidupan yang selesa.

“Sehubungan dengan itu, saya menggesa kerajaan segera mencari penyelesaian menang-menang untuk mengatasi masalah ini.

“Saya berharap melalui penambahbaikan fungsi SPAN di bawah pindaan ini akan diterjemahkan dalam peningkatan kualiti pengurusan bekalan air serta kelestarian sumber air di dalam negara,”katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Kerajaan Pusat lulus peruntukan RM1.59 bilion untuk Terengganu

KERAJAAN Persekutuan meluluskan peruntukan RM1.59 bilion di bawah Rolling Plan 4 (RP4) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi manfaat rakyat...

Lagi Artikel Berkaitan