PENGARAH video muzik Malampagi, Nadhir Nasar mempertahankan karya yang dihasilkannya itu meskipun kandungannya didakwa boleh merosakkan akhlak kerana mempromosikan maksiat.
Nadhir, 26, yang juga pelakon berkata, walaupun segelintir pihak berpendapat video muzik itu mungkin keterlaluan, dia sebagai pengarah hanya cuba memaparkan sesuatu yang menjadi realiti dalam kehidupan.
“Saya seorang yang berpegang pada prinsip. Prinsip saya adalah untuk menyampaikan mesej, jadi terpulang kepada penonton untuk menilai mana buruk dan baik.
“Mungkin orang akan kata ia keterlaluan, tapi itulah, manusia susah hendak terima kebenaran,” katanya.
Pelakon Projek High Council itu berkata, mesej yang cuba diketengahkan dalam video muzik berkenaan adalah bagaimana pengalaman buruk boleh mengajar seseorang meninggalkan perkara tidak baik.
Malah, video muzik itu juga diceritakan secara telus.
“Apa yang saya cuba ceritakan adalah realiti iaitu bagaimana teruk pun seseorang, akhirnya dia akan kembali semula kepada Allah.
“Video muzik itu sangat ‘straight forward’ dan sepatutnya ia mudah difahami. Lagi pun, banyak stesen radio memutarkan lagu itu serta segelintir orang pula anggap ia lagu healing stail generasi Z.
“Saya tukar persepsi berkenaan kepada lagu yang ada mesej yang boleh digunakan dalam kehidupan,” katanya.
Baru-baru ini, terdapat pengguna media sosial yang mendakwa lirik dan video muzik Malampagi berunsur lucah disamping memaparkan nilai sosial negatif kepada generasi muda.
Malah, individu terbabit turut mempersoalkan kredibiliti pihak bertanggungjawab kerana lagu itu masih kerap diputarkan di radio.
Malampagi antaranya memaparkan kehidupan bebas generasi muda yang memilih untuk berfoya-foya dan bergelumang dengan maksiat.
Nadhir berkata, dia berada dalam industri bukannya untuk mengejar glamor apatah lagi jumlah pengikut yang ramai.
Justeru, menjadi tanggung jawabnya untuk memberi keseimbangan antara mesej dan karya bermutu.
“Saya perlu berada di tahap tertentu kerana untuk hasilkan sesuatu naskhah itu agak sukar.
“Ada segelintir berpendapat perlu hasilkan yang berkualiti seperti di Netflix manakala yang lain beranggapan tidak baik mengikut ala kebaratan, tetapi kalau kita tidak ikut mereka, macam mana kita hendak dapat kualiti yang setara,” katanya lagi.
Katanya, sebelum mengarahkan video muzik berkenaan, dia sebenarnya sudah menjangkakan kontroversi akan berlaku.
Namun, dia tidak kisah sekiranya video muzik itu diharamkan tiba-tiba selepas ia tular.
“Sukar untuk memuaskan hati semua pihak kerana masing-masing mempunyai selera berbeza.
“Tapi tidak bermaksud saya seorang pengarah yang provokatif. Saya sudah buat kerja saya itu saja.
“Saya bukan sukakan provokasi cuma saya suka benda yang realiti. Suka atau tidak harus terima. Kita lebih selesa hidup dalam penafian dan tidak selesa dengan kebenaran,” katanya. -Edisi 9