PERMOHONAN maaf dikeluarkan syarikat penerbangan MyAirline kepada penumpang dan agensi penerbangan yang terjejas akibat penggantungan operasi syarikat itu.
Eksekutif interim MyAirline Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman berkata, syarikat itu kini dalam proses membuat pembayaran balik wang dengan segera.
Bagaimanapun, katanya, kesemua penumpang MyAirline diharap dapat bersabar.
“Kami juga sedang dalam usaha mewujudkan talian hotline bagi membantu penumpang kami yang terjejas dengan lebih baik dan memudahkan proses bayaran balik, mereka (penumpang) digalakkan untuk menyediakan nombor tempahan mereka (PNR) dan e-melkannya kepada kami di [email protected],” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Azharuddin berkata, kesemua pekerja MyAirline masih dalam penggajian penuh dan tiada pekerja yang diberikan cuti tanpa gaji.
Menyentuh mengenai perkongsian strategik, beliau berkata, beberapa pihak telah pun menunjukkan minat terhadap MyAirline dan syarikat kini sedang menilai cadangan tersebut.
“Kami akan terus menyediakan maklumat terkini kepada penumpang yang kami hargai dan juga pihak berkepentingan lain,” katanya. – BERNAMA