30.7 C
Kuala Lumpur
Monday, April 29, 2024

MYAirline gantung operasi, Capital A ‘dapat durian runtuh’

Mesti Baca

MEMILIKI 100 peratus syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia Malaysia, Capital A Bhd akan mendapat manfaat yang paling besar daripada penggantungan operasi MYAirline Sdn Bhd (MYAirline).

Penganalisis Maybank Investment Bank (Maybank IB) Yin Shao Yang berkata, MYAirline bersaing secara langsung dengan AirAsia Malaysia, yang lazimnya menyumbang lebih 80 peratus kepada perolehan kumpulan Capital A.

Beliau berkata, ia ditambah dengan penangguhan penghantaran pesawat badan sempit Boeing B737 MAX 8 kepada Malaysia Airlines, menyebabkan kapasiti domestik industri penerbangan akan mengambil masa untuk kembali kepada 100 peratus paras prapandemik pada 2019.

Katanya, keadaan itu akan memberikan tekanan kepada harga tambang untuk meningkat.

“Tambahan pula, masa penggantungan MYAirlines ini adalah pada permulaan tempoh perjalanan akhir tahun.

“Tambang biasanya memuncak pada suku keempat, yang bermakna akan menjadi suku keempat ‘durian runtuh’ buat Capital A.

“Mengambil kira semua keadaan adalah sama, setiap RM1 harga tambang AirAsia Malaysia yang lebih tinggi berbanding purata akan menghasilkan antara RM25 juta hingga RM30 juta kepada perolehan kumpulan,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

MYAirline dalam satu kenyataan mengejut baru-baru ini mengumumkan penggantungan operasinya berkuat kuasa serta merta sehingga diberitahu kelak.

Advertisements

Ahli Lembaga Pengarah syarikat itu dalam kenyataan memaklumkan keputusan penggantungan dibuat kerana tekanan kewangan yang menyebabkan operasi perlu digantung sementara menunggu penstrukturan semula pemegang saham dan permodalan semula syarikat.

Tekanan kewangan menjadi punca keputusan sukar itu terpaksa dibuat selain menunggu penstrukturan semula pemegang saham dan penjanaan semula modal syarikat itu, menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Shao Yang berkata, Maybank IB menjangkakan penggantungan operasi MYAirline akan memberikan sedikit kesan negatif kepada pengendali lapangan terbang, Malaysia Aiports Holdings Bhd (MAHB).

Beliau berkata, MYAirline merangkumi kurang daripada 10 peratus trafik penumpang domestik MAHB dan dianggarkan menyumbang kurang dua peratus kepada pendapatannya, mengambil kira bahawa caj perkhidmatan penumpang (PSC) domestik adalah lima hingga tujuh kali rendah berbanding PSC antarabangsa.

“Terdapat juga jumlah yang dihutang kepada MAHB daripada MYAirline, tetapi pengendali lapangan terbang itu memberikan jaminan kepada kami bahawa sebarang peruntukan tidak akan memberikan sebarang kesan material kepada perolehannya,” katanya.

Beliau menambah, AirAsia X pula dijangka tidak terkesan sama sekali dengan penggantungan operasi MYAirline, yang menggunakan pesawat badan sempit Airbus A320 untuk terbang ke destinasi domestik dan Asean.

“AirAsia X pula menggunakan pesawat badan lebar Airbus A330 yang terbang ke destinasi di luar Asean, kecuali Bali,” katanya. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

Mahkamah lulus permohonan bekas kakitangan Utusan Melayu

SELEPAS hampir lima tahun tiada sebarang berita mengembirakan buat bekas kakitangan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad yang ditamatkan perkhidmatan selepas...

Lagi Artikel Berkaitan