30.5 C
Kuala Lumpur
Sunday, April 28, 2024

Kekurangan wanita di Vietnam semakin membimbangkan

Mesti Baca

KEKURANGAN wanita di Vietnam menjadi topik perbualan biasa di meja makan di negara berkenaan. Beberapa tahun lalu, jika seorang wanita berusia pertengahan 20-an dan belum berkahwin, prospek perkahwinannya adalah salah satu kebimbangan terbesar bagi keluarga mereka.

Tetapi kebimbangan ramai keluarga kini semakin ditujukan kepada anak lelaki mereka. Antara persoalannya adalah: Adakah lelaki itu berpendidikan? Adakah lelaki itu mempunyai pendapatan yang cukup? Adakah lelaki itu berkelakuan baik?Ads by

Jika jawapan kepada soalan ini adalah negatif, maka prospek lelaki terbabit untuk mencari isteri akan berkurangan.

Terdapat 1.2 juta lebih kanak-kanak lelaki berbanding kanak-kanak perempuan dalam kalangan warga Vietnam di bawah umur 19 tahun, menurut bancian pada 2019, lapor portal Deutsche Welle (DW).

Menurut DW Vietnam kini bersama negara seperti China dan India dalam hal nisbah lelaki melebihi perempuan.

Akibatnya, ia memberikan impak sosial apabila lelaki sukar mencari pasangan hidup.

Kajian pada 2018 bertajuk “Ketidakseimbangan Gender Di Vietnam: Masalah Dan Penyelesaian” mengenal pasti beberapa sebab ketidakseimbangan kanak-kanak lelaki dan perempuan di negara itu.

Ketidakseimbangan itu sebahagiannya berpunca daripada keutamaan masyarakat terhadap lelaki, apabila secara tradisinya, seorang kanak-kanak perempuan dilihat mempunyai ‘nilai’ atau kedudukan yang kurang berbanding kanak-kanak lelaki.

Konfusianisme, yang mempunyai pengaruh kuat ke atas masyarakat Vietnam, menyebabkan pengasingan ketat peranan jantina dan subordinasi wanita kepada lelaki.

Advertisements

Apabila wanita berkahwin di Vietnam, mereka biasanya menyertai keluarga suami mereka.

Memandangkan kerajaan tidak menyediakan jaringan keselamatan sosial yang mencukupi, ibu bapa juga akan bergantung kepada anak lelaki mereka untuk menyara mereka pada hari tua mereka.

Penggunaan meluas kaedah ujian pranatal seperti pengimejan ultrabunyi juga membolehkan pasangan untuk menentukan jantina anak dalam kandungan. Walaupun kerajaan mengharamkan ujian ultrabunyi untuk pengenalan jantina pada 2003.

Hari ini, sebanyak 83 peratus wanita hamil mengetahui jantina anak mereka sebelum dilahirkan, lapor Profil Kesaksamaan Jantina Negara Bangsa-Bangsa Bersatu 2021.

Ultrabunyi, bersama-sama dengan dasar untuk mengekang pertumbuhan penduduk, mempengaruhi nisbah jantina.

Kerajaan Vietnam mengamalkan dasar dua kanak-kanak pada tahun 1988, tetapi ia tidak dikuatkuasakan secara tegar.

Kebanyakan keluarga di negara ini juga mahukan anak lelaki untuk meneruskan keturunan mereka. Akibatnya, terdapat peningkatan dalam pengguguran janin perempuan, terutama apabila kehamilan kedua atau ketiga.

Bertentangan dengan apa yang dijangkakan, nisbah yang menyaksikan lebih ramai lelaki ini tidak membawa kepada peningkatan dalam status atau kedudukan sosial wanita di Vietnam.

Sebaliknya, wanita menjadi mangsa perkahwinan paksa, pemerdagangan manusia dan bentuk keganasan lain terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan, menurut kajian “Ketidakseimbangan Gender Di Vietnam: Masalah Dan Penyelesaian”. -Agensi

Advertisements

Terkini

Kasino di Forest City: Chegu Bard ditahan reman dua hari

BADRUL Hisham Shaharin atau Chegu Bard direman susulan membuat hantaran yang mengaitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan...

Lagi Artikel Berkaitan