32.5 C
Kuala Lumpur
Monday, May 6, 2024

Belanjawan 2024: Pertumbuhan industri kreatif terus dirancakkan

Mesti Baca

PELBAGAI inisiatif untuk manfaat penggiat seni dapat dilaksanakan dengan peruntukan RM160 juta menerusi Belanjawan 2024 bagi membantu merangsang pertumbuhan industri kreatif untuk berkembang dengan lebih pesat.

Komposer dan penyanyi rap terkenal, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad atau Altimet, berkata kerancakan industri kreatif mampu memberi sumbangan positif terhadap pertumbuhan ekonomi negara.

“Secara puratanya, sektor industri kreatif di negara membangun menyumbang enam hingga 10 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tetapi di Malaysia industri berkenaan menyumbang kira-kira dua peratus.

“Sebagai anak seni, kita perlu lebih berusaha untuk meningkatkan sumbangan terbabit sekurang-kurangnya kepada enam peratus KDNK. Namun, usaha ini perlu dilakukan secara berterusan,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat kelmarin, mengumumkan RM160 juta bagi menyokong industri kreatif negara untuk melaksanakan pelbagai inisiatif yang akan memanfaatkan penggiat seni.

Peruntukan itu antaranya membabitkan RM60 juta di bawah Dana Kandungan Digital (DKD) untuk mempromosi karya tempatan dan menyokong kandungan berteraskan nilai kenegaraan, RM90 juta di bawah inisiatif Film in Malaysia Incentive (FIMI) untuk terus menggalakkan penghasilan filem bertaraf antarabangsa dan RM10 juta bagi menyediakan Skim Dana Padanan MyCreative untuk menyokong anak-anak seni dalam penghasilan projek kreatif.

Penyanyi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya itu menyifatkan pengecualian sepenuhnya duti hiburan bagi persembahan pentas artis tempatan di Wilayah Persekutuan sebagai satu langkah yang wajar dan bertepatan sekali gus menyaksikan kebangkitan semula industri kreatif.

“Bagi saya, ini ubat yang membantu, memandangkan jika dilihat sebelum ini di Selangor, kadar 15 peratus sudah dihapuskan dan ia bergantung pada negeri.

Advertisements

“Tetapi, lokasi utama seperti Kuala Lumpur sebelum ini 25 peratus dan pengumuman ini tentunya melegakan penggiat seni tempatan,” katanya.

Dalam pada itu, gabungan Persatuan Perfileman Malaysia (GAFEMA), yang terdiri daripada gabungan tujuh persatuan seni utama industri perfileman tempatan turut melahirkan rasa syukur atas keprihatinan kerajaan dalam memperkasa pembangunan ekonomi industri perfileman negara seiring dengan kemajuan ekonomi.

Presiden GAFEMA, Pansha, berkata peruntukan RM90 juta di bawah insentif FIMI akan terus menggalakkan penghasilan filem tempatan bertaraf antarabangsa.

“FIMI menjadikan Malaysia sebagai hab destinasi penggambaran antarabangsa. Pindaan menetapkan kadar cukai pendapatan khas antara sifar hingga 10 peratus kepada syarikat produksi filem, pelakon filem asing dan kru filem secara langsung menarik minat kemasukan produksi filem asing membuat penggambaran di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Turut senada, MyCreative Ventures (MyCreative) menyifatkan Belanjawan 2024 bertepatan dengan keperluan pemain industri kreatif tanah air yang mengharapkan sokongan jitu serta bersasar daripada kerajaan.

“Kami gembira dan berterima kasih kepada kerajaan dengan peruntukan RM10 juta untuk menyediakan Skim Dana Padanan MyCreative yang bertujuan menyokong anak-anak seni dalam menghasilkan projek kreatif berkualiti tinggi dan bertaraf global,” katanya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif KRU Group, Datuk Norman Abdul Halim berkata, peruntukan Belanjawan 2024 untuk industri kreatif pragmatik dan berpandangan jauh, khususnya untuk memperkasa industri dengan menggalakkan pelaburan sektor swasta.

Menerusi catatan di Facebook, Norman berkata pemotongan duti hiburan bagi artis antarabangsa dan pelupusan duti hiburan bagi persembahan artis tempatan juga akan menggalakkan lebih banyak konsert diadakan sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan. –Edisi 9

Advertisements

Terkini

Akibat tindakan bodoh, Harimau Malaya hilang pemain tonggak

AKIBAT tindakan bodoh oleh individu tertentu, skuad kebangsaan kehilangan pemain tonggak bagi mengharungi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027,...

Lagi Artikel Berkaitan