BIDANG katering dan sajian menjadi antara pilihan tertinggi peserta Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) di Kolej Komuniti Hulu Langat (KKHL) tahun ini.
Pengarah KKHL, Roszita Shamsuddin berkata, sehingga 11 Oktober lalu, daripada 4,555 peserta PSH yang mengikuti pembelajaran di kolej tersebut, sebanyak 1,340 orang terdiri daripada peserta kluster tersebut.
Beliau berkata, bagi memastikan PSH sentiasa dinamik dan dapat memupuk minat individu untuk kehidupan yang lebih bermakna, KKHL telah mengambil inisiatif melaksanakan kursus-kursus berimpak tinggi.
Katanya, dilakukan melalui pelbagai kluster pilihan kursus kluster sains kesihatan, komputer dan teknologi maklumat, kecantikan dan dandanan, elektrik dan elektronik selain katering dan sajian.
“PSH memberi impak yang besar kepada masyarakat di mana terdapat peserta kursus PSH kami menggunakan kemahiran yang dipelajari dengan menjalankan perniagaan secara atas talian serta menjadikan ia sebagai kerja sambilan.
“Ini secara tidak langsung dapat membantu mereka meningkatkan pendapatan keluarga,” pada pelancaran Karnival PSH Komuniti Madani di perkarangan KKHL di Prima Saujana, Kajang hari ini.
Karnival tersebut dirasmikan oleh Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan.
Roszita berkata, PSH merupakan aktiviti pembelajaran yang dilakukan sepanjang hidup dengan tujuan meningkatkan kemahiran kompentesi untuk kemajuan diri.
PSH juga, katanya, dapat memupuk minat dan menyerlah bakat komuniti serta menjadi platform bagi seseorang individu untuk mempelajari kemahiran baharu melalui kursus-kursus pembelajaran sepanjang hayat yang disediakan.
“Selain menggali minat dan bakat, PSH turut membantu menaikkan taraf hidup keluarga dari segi ekonomi dan mampu menggembleng potensi individu yang masih mencari peluang pekerjaan serta meningkatkan kemahiran diri sendiri,” katanya.
Sempena karnival tersebut, pelbagai aktiviti telah diadakan antaranya Fun Walk, Hari Bertemu Pelanggan, Kursus Penyediaan Nasi Arab, Kursus Pengendalian Makanan dan Perlesenan, Kursus Confinement Lady, Kursus Teknik Persembelihan Patuh Syarak dan Kursus 4IR Embeded IOT Hardware.
Turut diadakan pameran agensi-agensi kerajaan dan swasta selain permainan tradisional dan jualan keusahawanan oleh para pelajar dan usahawan PSH. – Edisi 9