31.5 C
Kuala Lumpur
Friday, May 3, 2024

Bukti kerajaan serius pelihara kesejahteraan rakyat – KDN

Mesti Baca

Ahmad Shazwan Md Yusof
Ahmad Shazwan Md Yusof
Wartawan Edisi 9

PENINGKATAN peruntukan Kementerian Dalam Negeri (KDN) memperlihatkan keseriusan kerajaan dalam memastikan agensi penguatkuasaan terus memperhebatkan tindakan dalam memelihara kesejahteraan rakyat.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ia secara tidak langsung meningkatkan usaha penguatkuasaan serta operasi secara bersepadu melibatkan Jabatan Imigresen, polis dan agensi penguatkuasaan lain.

Ujar beliau, tambahan peruntukan tersebut menunjukkan kerajaan komited dalam menangani ketirisan hasil serta memperketatkan langkah kawalan penyeludupan.

“KDN akan terus bersama kerajaan dalam mempertingkatkan keberkesanan dan kecekapan dalam perkhidmatan kepada rakyat dan negara.

“Saya yakin inisiatif Belanjawan Madani ini akan memperkasakan agensi penguatkuasaan di Malaysia sepanjang pentadbiran Kerajaan Perpaduan,” katanya menerusi kenyataan malam tadi.

KDN telah diperuntukkan sebanyak RM19,066,051,500 yang terdiri daripada RM13,986,823,700 bagi Perbelanjaan Mengurus dan RM5,079,227,800 bagi Perbelanjaan Pembangunan dalam Belanjawan 2024.

Ia merupakan kenaikan sebanyak RM547,360,200 atau 2.95 peratus berbanding Belanjawan 2023, sebanyak RM18,518,691,300.

Advertisements

Antara inisitiaf yang akan dilaksanakan di bawah peruntukan tersebut ialah mewujudkaan Baitul Mahabbah, penempatan sementara kanak-kanak pusat tahanan imigresen melibatkan peruntukan sebanyak RM10 juta.

Saifuddin Nasution berkata, KDN juga akan mewujudkan sebuah agensi tunggal sempadan negara atau Single Border Agency (SBA) bagi menyelenggara harta modal atau aset di pintu masuk antarabangsa.

“Pembinaan tujuh pos imbangan antaranya di Melikin dan Pa’ Daleh, Sarawak, pos keselamatan di Sungai Desa Aji Kuning. Pulau Sebatik, Sabah serta kerja awalan pembinaan dua ICQS di Nabawan dan Kalabakan, Sabah,” katanya.

Menurut beliau, KDN akan menambah aset perairan melibatkan sembilan kapal ronda generasi baharu dan bot pemintas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Selain itu katanya, ia turut melibatkan perolehan tujuh pesawat enjin berkembar dan lima helikopter ringan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“KDN akan memperkasa Program Peka (Peluang Kedua Anda) menerusi Jabatan Penjara bagi menyediakan peluang pekerjaan kepada pesalah yang akan tamat tempoh hukuman,” jelasnya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Akhyar Rashid disamun, cedera di kepala akibat dipukul

PEMAIN bola sepak kebangsaan, Akhyar Rashid cedera di kepala dan kaki selepas menjadi mangsa samun di Kuala Terengganu sekitar...

Lagi Artikel Berkaitan