JABATAN Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) akan menjalankan siasatan dari pelbagai sudut berhubung kes kematian orang kena tahan (OKT) di lokap Balai Polis Sungai Besar, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam.
Pengarah JIPS Bukit Aman, Datuk Seri Azri Ahmad berkata, kematian itu membabitkan lelaki warga tempatan berusia 49 tahun yang ditahan pada 26 Oktober lalu berkaitan kes di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Bagaimanapun pada pukul 3.30 pagi, semalam, anggota petugas mendapati OKT dalam keadaan meniarap dan tidak sedarkan diri.
“Pihak hospital segera dihubungi untuk mendapatkan rawatan lanjut namun pegawai perubatan mengesahkan kematian OKT pada pukul 4.40 pagi,”katanya menerusi kenyataan hari ini.
Menurutnya, pemeriksaan Covid-19 yang dijalankan ke atas si mati di Hospital Sungai Buloh mendapati OKT negatif.
“Hasil bedah siasat yang dilakukan juga tidak menemukan sebarang kecederaan berunsurkan jenayah dikesan.
“Punca kematian masih ‘pending laboratory investigation.
“Siasatan lanjut dari pelbagai sudut dijalankan Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT), JIPS Bukit Aman sebelum menyerahkan hasil siasatan kepada koroner,” katanya. – Edisi 9