28.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, May 4, 2024

Sistem komputer Mahkamah Jenayah Antarabangsa digodam

Mesti Baca

MAHKAMAH Jenayah Antarabangsa (ICC) semalam memaklumkan sistem komputernya digodam, menyaksikan pelanggaran terhadap institusi antarabangsa paling berprofil tinggi di dunia dan agensi yang mengendalikan maklumat sangat sensitif mengenai jenayah perang.

ICC berkata, pihaknya mengesan aktiviti luar biasa terhadap rangkaian komputernya pada hujung minggu lalu, mencetuskan maklum balas pantas yang masih berterusan.

Jurucakapnya juga enggan memberikan sebarang ulasan berhubung tahap serius insiden berkenaan termasuk sama ada ia sudah diselesaikan sepenuhnya atau siapa dalangnya.

“Langkah dan tindak balas segera sudah diambil terhadap insiden keselamatan siber ini dan untuk mengurangkan kesannya,” kata ICC dalam satu kenyataan ringkas.

ICC ialah tribunal jenayah perang kekal yang berpusat di bandar The Hague, Belanda. Ia ditubuhkan pada 2002 untuk membicarakan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan.

Pendakwa raya kini sedang menjalankan 17 siasatan terhadap situasi antaranya di Ukraine, Uganda, Venezuela, Afghanistan dan Filipina.

Pada Mac lalu, mahkamah itu menjadi tajuk utama apabila mengeluarkan waran tangkap kepada Presiden Russia, Vladimir Putin kerana disyaki menghantar pulang kanak-kanak secara haram dari Ukraine, namun pentadbiran Kremlin menolak tuduhan dan bidang kuasa mahkamah.

Dokumen yang sangat sensitif di ICC boleh termasuk apa-apa daripada bukti jenayah kepada nama saksi yang dilindungi, walaupun mahkamah tidak mendedahkan bahagian mana sistemnya diakses.

Mahkamah dalam kenyataannya berkata, pihaknya akan terus ‘menganalisis dan mengurangkan kesan insiden terbabit’ dengan bantuan kerajaan Belanda.

Katanya, pihaknya juga mengambil langkah untuk mengukuhkan keselamatan sibernya.

Advertisements

Jurucakap Kementerian Kehakiman Belanda mengesahkan Pusat Keselamatan Siber Kebangsaan negara itu menyokong siasatan namun enggan mengulas lanjut.

Sementara itu, Presiden Persatuan Peguam ICC, Marie-Hélène Proulx, berkata peguam untuk defendan dan mangsa telah terjejas ‘dengan cara sama seperti kakitangan mahkamah’ oleh langkah keselamatan yang tidak ditentukan yang diambil sebagai tindak balas kepada insiden itu.

“Kami memuji usaha dalam memastikan sistem maklumat mahkamah selamat dan berharap keadaan itu akan diselesaikan segera,” katanya.

Agensi perisikan Belanda (AIVD) berkata dalam laporan tahunan 2022 bahawa ICC menarik perhatian Russia kerana ia sedang menyiasat kemungkinan jenayah perang Russia di Georgia dan Ukraine.

Pada Jun 2022, AIVD mendedahkan pihaknya menemui ejen tentera Russia yang menyamar sebagai warga Brazil dalam percubaan untuk menyusup ke mahkamah.

Bulan lalu, Pendakwa raya ICC, Karim Khan berkata serangan siber boleh menjadi sebahagian daripada penyiasatan jenayah perang masa hadapan.

Beliau memberi amaran ICC sendiri boleh terdedah dan harus mengukuhkan pertahanannya.

“Penyelewengan maklumat, pemusnahan, pengubahan data dan kebocoran maklumat sulit boleh menghalang pentadbiran keadilan di ICC.

“Oleh itu, ia adalah jenayah dalam bidang kuasa ICC yang mungkin disiasat atau didakwa,” katanya dalam laporan Dasar Luar Negara, laporan analitik yang dibiayai Microsoft. -Agensi

Advertisements

Terkini

USANITA pilih Awal Ashaari sebagai wajah untuk 2024

ATAS komitmen terbaik yang diberikan dalam memberikan kerjasama terhadap pelbagai program yang dijayakan oleh Usanita Sdn Bhd (USANITA), pelakon...

Lagi Artikel Berkaitan