26.6 C
Kuala Lumpur
Sunday, May 5, 2024

Yayasan MyAqsa Malaysia fail petisyen ICC terhadap Netanyahu

Mesti Baca

YAYASAN MyAqsa Malaysia, telah menyerahkan bukti dan keterangan jenayah perang yang dilakukan oleh Benjamin Netanyahu kepada Pejabat Pendakwa Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) di The Hague.

Pasukan peguam yang berpengalaman serta aktivis hak asasi manusia itu diketuai oleh Profesor Dato’ Dr. Rahmat Mohamad, bersama peguam Lukman Sheriff Alias dan Azril Mohd Amin, secara rasmi telah mengemukakan petisyen semalam (22 November).

Pengerusi Yayasan MyAqsa, Suwardi Yaacob dalam satu kenyataan berkata, penghujahan tehadap jenayah perang Israel telah disusun dengan teliti oleh pasukan penyelidik MyAqsa dan dikemukakan bagi menangani jenayah kemanusiaaan yang membimbangkan dan pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan di pelbagai kemudahan penjagaan kesihatan di Gaza.

Tumpuan penyerahan petisyen ini merangkumi bukti serangan dan pengeboman ke atas institusi perubatan penting, iaitu Hospital al-Shifa, Hospital al-Quds, Hospital Indonesia dan Hospital al-Ahl yang kesemuanya terletak di Gaza.

“Dokumen komprehensif yang dikemukakan setebal 52 muka surat yang menggariskan dengan terperinci sejarah prosedur, rangka kerja undang-undang yang relevan dan catatan terperinci mengenai kekejaman yang dilakukan oleh pihak tertuduh yang telah menyebabkan beribu-ribu kematian, kecederaan dan kehilangan rumah penduduk Palestin yang tidak bersalah.

“Walaupun terdapat begitu banyak bukti awam mengenai pelbagai jenayah perang keji yang dilakukan oleh Israel, MyAqsa ingin menyatakan kekecewaannya terhadap ICC kerana kegagalannya meneruskan dakwaan terhadap Benyamin Netanyahu selepas lebih sebulan serangan genosid Israel yang menyaksikan kematian lebih daripada 13,000 kanak-kanak dan orang awam.

“Justeru, MyAqsa telah bekerja keras untuk mengumpulkan semua bukti secara padu dan mengatur cara semua bukti bagi tujuan pendakwaan.

“Bukti yang dikumpul bukan sahaja terdiri daripada video dan gambar malah kenyataan langsung daripada ramai saksi yang menyaksikan sendiri kekejaman yang dilakukan pada masa ianya terjadi,” katanya.

Kenyataan itu berkata, pengumpulan bukti tidak akan dapat dilakukan tanpa bantuan Kerajaan Palestin.

Justeru, jika ICC memerlukan maklumat lanjut kes mengikut garis bukti yang dikemukakan oleh MyAqsa, mereka bersedia untuk memberikan segala butiran terbabit.

Advertisements

“Dengan penyerahan petisyen aduan ini, Yayasan MyAqsa percaya semua alasan kukuh dan munasabah yang diberikan, membolehkan ICC untuk mengeluarkan waran tangkap terhadap tertuduh.

“MyAqsa menyeru agar tuduhan rasmi terhadap tertuduh atas dakwaan jenayah di bawah Perkara 61 Statut Rom dapat dibuat dengan segera.

“Kami memohon penyiasatan menyeluruh dimulakan segera oleh ICC berdasarkan maklumat dan bukti seperti yang diperuntukkan menurut Artikel 15 dan 53 Statut Rom.” katanya.

Suwardi berkata, dari perspektif MyAqsa, terdapat bukti kukuh yang membolehkan ICC memulakan siasatannya.

“Keadilan yang ditangguh bukan sahaja keadilan yang dinafikan kerana tindakan pantas oleh ICC sebenarnya boleh menghentikan lebih banyak kematian dan perpindahan ribuan rakyat Palestin di Gaza.

“ICC mesti bertindak tanpa rasa takut atau pilih kasih. Ia telah bertindak pantas sebelum ini, dengan bukti awam yang kurang menarik dalam kekejaman lalu yang dilakukan oleh Israel di Gaza.

“MyAqsa menuntut ICC meneruskan siasatannya dengan segera dan tanpa sebarang kelewatan yang disengajakan,” katanya.

Komitmen MyAqsa yang tidak berbelah bahagi terletak pada usaha mencari akauntabiliti atas perbuatan keji ini dan memastikan pihak tertuduh disabitkan dengan bebanan undang-undang sepenuhnya.

“Kami bersatu dalam usaha mencari keadilan untuk semua rakyat Palestin, yang terjejas oleh pelanggaran undang-undang antarabangsa yang dahsyat ini.

“Kami bersama-sama pihak lain menyeru agar ICC bertindak segera dan menahan mereka yang bertanggungjawab ke atas pembunuhan beramai-ramai dan pembersihan etnik yang berterusan di Gaza,” katanya lagi. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

USANITA pilih Awal Ashaari sebagai wajah untuk 2024

ATAS komitmen terbaik yang diberikan dalam memberikan kerjasama terhadap pelbagai program yang dijayakan oleh Usanita Sdn Bhd (USANITA), pelakon...

Lagi Artikel Berkaitan