KERAJAAN menambah siling Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) sebanyak RM15 bilion lagi, menjadikan jumlah keseluruhannya berjumlah RM415 bilion.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peningkatan ini adalah bagi menambah keperluan untuk membiayai bidang keutamaan rakyat di samping memperbaiki mutu pengurusan dan menyasarkan semula subsidi bagi menampung keperluan asas rakyat.
“RMK-12 akan dijajarkan semula dengan visi Ekonomi MADANI, yang
menyasarkan pemerkasaan dan merancakkan ekonomi negara untuk
tempoh sepuluh tahun.
“Justeru, Kerajaan komited untuk membelanjakan sekurang-kurangnya RM90 bilion setahun bagi tahun 2023 hingga 2025.
“Ini bermakna, Kerajaan akan membelanjakan sepenuhnya peruntukan
RM400 bilion di bawah RMK-12,”katanya ketika membentangkan Kajian Separuh Penggal (KSP) RMK-12 di Dewan Rakyat, hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, RMK-12 memperuntukkan RM400 bilion bagi membiayai projek pembangunan sambungan dan baharu untuk tempoh lima tahun.
“Bagi tempoh dua tahun yang pertama, prestasi perbelanjaan sebenar ialah 34 peratus. Pada tahun 2021, jumlah perbelanjaan pembangunan hanyalah sebanyak RM64.3 bilion, sementara pada tahun 2022 jumlahnya adalah sebanyak RM71.6 bilion,”katanya.
Katanya, anjakan baru bermula dengan menoktahkan kemiskinan tegar,
menyelesaikan masalah asas prasarana dan keperluan asas rakyat
termasuk memperbaiki sekolah dan klinik daif, menjamin bekalan air bersih,
serta meneraju ekonomi Islam.
“Dalam bidang menoktahkan kemiskinan tegar, insya-Allah kita akan berhasil menempa kejayaan yang bermakna sebelum akhir tahun ini,” kata beliau.
Ujarnya, sementelahan, KSP RMK-12 akan menyemak semula dasar, strategi
dan sasaran secara menyeluruh dengan mengambil kira kesenjangan
pembangunan kota, desa dan pedalaman dan juga miskin-kaya yang masih
wujud, hutang yang membengkak, ruang fiskal yang terhad dan peralihan
struktur ekonomi yang perlahan. – Edisi 9