31.8 C
Kuala Lumpur
Friday, May 3, 2024

Pelajar MBA UKM tanam sayur di Pusat Kebajikan Rukaiyah

Mesti Baca

PARA penghuni Pusat Kebajikan Rukaiyah, Kajang bertuah apabila mereka dipilih untuk menjayakan Projek Rise Up bersama mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) terutama dalam program penanaman sayur secara hidroponik.

Inisiatif itu diusahakan oleh lapan pelajar Sarjana Pengurusan Perniagaan (MBA) dari Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan UKM.

Penyelia Projek Rise Up, Prof Wan Mohd Hirwani Wan Hussain berkata, kebun hidroponik yang terletak di kawasan pusat kebajikan tersebut dibina bagi menyediakan hasil berkhasiat kepada penghuni.

Beliau berkata, dengan adanya kebun tersebut yang diwujudkan hasil sumbangan orang ramai dapat mengajar para penghuni tentang kemahiran pertanian.

“Pelajar-pelajar dari UKM itu juga menjalankan bengkel-bengkel mengajar kanak-kanak cara membuat rantai kunci guna pipe cleaners pelbagai warna dan mengecat beg tote menggunakan cat akrilik.

“Ini membolehkan mereka belajar cara-cara ekspresi diri dan juga sebagai potensi menjana pendapatan melalui jualan karya seni mereka pada masa akan datang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Untuk rekod, kebun hidroponik yang ditanam dengan tanaman pak choy, kubis cina dan bayam tersebut adalah hasil sumbangan sebanyak RM27,000 yang diterima daripada para penaja program.

Advertisements

Sementara itu, Pengurus Pusat Kebajikan Rukaiyah, Siti Eshah Din berkata, pusat tersebut menempatkan seramai 42 kanak-kanak terdiri daripada anak yatim dan kalangan keluarga miskin.

Beliau berterima kasih kepada pihak UKM yang telah memilih pusat kebajikan tersebut untuk menjayakan Projek Rise Up yang amat bermanfaat bukan sahaja kepada pihaknya tetapi juga para penghuni.

“Kebun hidroponik yang diusahakan juga tumbuh subur manakala anak-anak kami juga seronok dapat mempelajari kemahiran baharu.

“Sayur-sayuran dari kebun yang dibina itu dijangka sedia dituai pertengahan bulan September ini.

“Kami tidak sabar untuk memakannya dan kami ada rancangan untuk menjual sebahagian sayuran segar itu kepada masyarakat setempat,” katanya.

Ketua Pasukan Projek RiseUp, Shawn Toh Kwee Ing berharap projek tersebut dapat memberikan inisiatif mampan kepada penghuni bagi membantu mereka menjadi lebih berdikari.

“Kami harap orang lain juga akan berminat lakukan inisiatif mampan seperti ini, supaya kita dapat bina masyarakat yang lebih inklusif,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

UMNO sambut baik pengumuman PM naikkan gaji 15 peratus

UMNO menyambut baik dan menyokong penuh pengumuman Perdana Menteri untuk menaikkan gaji penjawat awam sebanyak 15 peratus mulai 1...

Lagi Artikel Berkaitan