31.5 C
Kuala Lumpur
Tuesday, May 7, 2024

Ramai wanita Malaysia tidak rancang keluarga

Mesti Baca

RAMAI wanita di Malaysia didapati ingin mengelakkan kehamilan, namun tidak menggunakan sebarang kaedah perancangan keluarga sebagai langkah pencegahan.

Dapatan itu dibuat berdasarkan Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia ke-5 (KPMKM-5) oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) pada 2014 dengan Malaysia berada di kedudukan tertinggi di Asia, iaitu 19.6 peratus.

Pengerusinya, Datuk Seri Rohani Abdul Karim, berkata situasi ini membimbangkan kerana ia memberi isyarat bahawa kesedaran mengenai penggunaan kontraseptif dalam kalangan wanita masih rendah.

Ia sekali gus boleh mencetuskan pelbagai kesan negatif terutama dari segi kesihatan.

“Komunikasi terutamanya dalam kalangan suami isteri sangat penting. Bukanlah kita tidak mahu anak tetapi jika ingin merancang, ia memerlukan langkah yang betul.

“Oleh itu, tidaklah berlaku situasi hamil dalam keadaan tidak gembira.

“Data menunjukkan 19.9 peratus wanita ini sebenarnya belum bersedia hendak hamil, tetapi tidak merancang. Apabila hamil, ia menyebabkan mereka mudah stres, kesihatan terganggu dan akhirnya keadaan ini akan turut memberi kesan kepada emosi bayi dan ini yang kita tidak mahu terus berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penutup Forum Advokasi Perancang Keluarga Sempena Sambutan Hari Kontraseptif Sedunia 2023 di Hotel Eastin, Petaling Jaya, hari ini.

Advertisements

Turut hadir pada majlis itu, Ketua Pengarah LPPKN, Abdul Shukur Abdullah.

Rohani berkata, LPPKN giat menjalankan program advokasi dan promosi perkhidmatan perancang keluarga dalam usaha meningkatkan aksesibiliti rakyat terutama yang kurang berkemampuan.

“Sepanjang September ini, LPPKN menjalankan Kempen Bulan Perancang Keluarga 2023 dengan tema ‘Pilih Dengan Yakin, di semua 49 Klinik Nur Sejahtera LPPKN di seluruh negara sehingga Jumaat ini.

“Kami menyediakan 1,000 kuota untuk pemberian alat kontraseptif percuma kepada golongan B40 berisiko tinggi dan layak.

“Saya harap, golongan wanita terutama yang kurang mampu ambillah peluang ini, LPPKN akan berikan konsultasi dan mencadangkan pelbagai jenis alat perancang kehamilan bergantung kepada tahap kesihatan dan kesesuaian,” katanya.

Mengenai Belanjawan 2024, Rohani berharap LPPKN diberikan peruntukan mengurus yang lebih tinggi supaya agensi itu dapat memperluaskan program berkaitan kesihatan dan kesejahteraan keluarga secara lebih berkesan.

“Kami harap Kerajaan Perpaduan dapat mempertimbangkan peruntukan mengurus yang lebih, ini membolehkan pelbagai program dan perkhidmatan berkaitan keluarga dan masyarakat dapat diperluaskan terutama dalam kalangan B40.

“Ada banyak perkara yang kita ingin lakukan, satu daripadanya adalah memperbanyakkan lagi program di kawasan pedalaman selain saringan kesihatan bagi kanser servis yang juga pembunuh utama wanita,” katanya. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

Khaled jawab isu syarikat bekal senjata Israel sertai DSA/NATSEC

MENTERI Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menjawab isu penglibatan syarikat pertahanan global tertentu yang didakwa pembekal senjata untuk...

Lagi Artikel Berkaitan