BARU sahaja menjejakkan kaki ke tanah air, pendakwah popular, Ebit Lew terus ke balai polis membuat laporan susulan fitnah yang dilemparkan terhadapnya.
Menerusi hantaran di Instagram (IG) miliknya, Ebit atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim Lew membuat laporan di Balai Polis USJ 8, Subang Jaya, Selangor.
“Bismillah. Baru sampai dari Jeddah, Arab Saudi 12 malam tadi terus ke Balai Polis buat report (laporan) mengenai fitnah-fitnah melampau yang langsung tidak berasas ke atas saya. Saya serahkan kepada pihak polis untuk mengambil tindakan.
“Saya juga akan menyerahkan kepada pihak peguam untuk tindakan selanjutnya,” katanya menerusi hantaran di IG.
Namun begitu, Ebit tidak menyatakan secara terperinci mengenai butiran laporan yang dibuat itu.
Bagaimanapun, hantarannya itu mengundang pelbagai reaksi daripada ramai netizen.
Rata-rata menyokong tindakan Ebit membuat laporan polis disebabkan sikap manusia sekarang yang suka menyebarkan fitnah.
“Betul la orang cakap, baik berjuta kali pun kalau ada sedikit silap terus dipandang hina. Tunggu bukti kukuh dulu baru bincang, katanya,” tulis seorang pengguna IG, Shahzrin.
Kontroversi membabitkan Ebit tercetus baru-baru ini selepas seorang wanita bertatu membuat pendedahan menerusi podcast penyanyi rap, Caprice.
Menerusi podcast itu wanita berkenaan berkongsi mengenai sikap sebenar pendakwah berkenaan.
Pendedahan berani wanita itu dipercayai menyebabkan ramai membuat andaian dan tuduhan membabitkan Ebit.
Video podcast itu juga turut tular di media sosial hingga meraih tontonan yang tinggi. -Edisi 9