PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selamat tiba di Jakarta, Indonesia bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-43 dan Sidang-sidang Kemuncak Berkaitan yang dijadual bermula esok hingga Khamis ini.
Anwar dan isteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail tiba dengan pesawat khas di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno Hatta di Tangerang pada pukul 3.28 petang waktu tempatan (4.28 petang waktu Malaysia).
Ketibaan Perdana Menteri disambut Menteri Komunikasi dan Informasi Indonesia, Budi Arie Setiadi; Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir serta Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Syed Md. Hasrin Tengku Hussin.
Selain daripada Sidang Kemuncak ASEAN ke-43, Perdana Menteri akan menghadiri Sidang-sidang Kemuncak Berkaitan antara ASEAN dan tujuh Rakan Dialog iaitu Australia, China, Jepun, India, Republik Korea, Amerika Syarikat (AS) dan Kanada.
Anwar juga akan menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Campur Tiga, Sidang Kemuncak Asia Timur, dan Sidang Kemuncak ASEAN-Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Kementerian Luar Negeri (KLN) menerusi kenyataan berkata, di luar Sidang Kemuncak ASEAN, Perdana Menteri dijadual menghadiri upacara perasmian ASEAN-Indo Pacific Forum (AIPF), esok.
Katanya, Sidang Kemuncak ASEAN ke-43 dan Sidang-sidang Kemuncak Berkaitan akan membolehkan Malaysia untuk berkongsi dan bertukar-tukar pandangan mengenai usaha-usaha pembinaan komuniti ASEAN, Komuniti ASEAN Pasca 2025, hubungan ASEAN dengan rakan kongsi luar, seta isu-isu serantau dan antarabangsa.
Anwar berkata, ini merupakan platofrm bagi menyatakan hala tuju kerajaan berkaitan isu glokal yang terkait, selain menyertai beberapa siri sidang kemuncak dalam mengukuhkan jaringan diplomatik yang sekian lama terjalin dengan rakan-rakan ASEAN.
“Adalah menjadi harapan saya agar penyertaan Malaysia ke Sidang Kemuncak kali ini akan dapat mengukuhkan lagi Kepusatan ASEAN di rantau Indo-Pasifik serta menggalakkan keterangkuman dan keterbukaan ASEAN dalam menjalankan hubungannya dengan rakan-rakan luar.
“Hatta platform ini dapat menggalakkan kebersamaan, keamanan dan kestabilan tatkala menopang tantangan dan kebhinekaan evolusi geopolitik serantau yang kian mencabar tika ini,” katanya menerusi catatan di Facebook.
Selain program rasmi, Perdana Menteri juga akan bertemu rakyat Indonesia dalam ‘Program Temu Anwar’, pertama kali diadakan di luar negara. – Edisi 9