30.3 C
Kuala Lumpur
Monday, May 20, 2024

PM berlepas ke New York sertai UNGA ke-78

Mesti Baca

Ahmad Shazwan Md Yusof
Ahmad Shazwan Md Yusof
Wartawan Edisi 9

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama delegasi berlepas ke New York, Amerika Syarikat (AS) malam tadi bagi menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-78.

Beliau diiringi isteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Kesihatan Dr. Zaliha Mustafa serta pegawai kanan kerajaan.

Perdana Menteri dan delegasi dijangka tiba di New York pada pukul 10 pagi Rabu (10 malam waktu Malaysia).

Kementerian Luar Negeri (KLN) berkata, ini merupakan penglibatan pertama Anwar ke Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) setelah dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10.

“Pada tahun ini, Perdana Menteri dijadual menyampaikan Kenyataan Negara semasa sesi Debat Umum pada 22 September. 

“Tema bagi sesi Debat Umum pada tahun ini adalah Rebuilding trust and reigniting global solidarity: Accelerating action on the 2030 Agenda and its Sustainable Development Goals (SD) towards peace, prosperity, progress and sustainability for all,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Selari dengan tema UNGA 78 katanya,, Perdana Menteri dijangka mengetengahkan isu-isu berkaitan perubahan iklim dan usaha-usaha bagi mencapai Agenda 2030 dalam Kenyataan Malaysia. 

Advertisements

Menurut kenyataan itu, Anwar juga dijangka akan mengetengahkan pendirian Malaysia terhadap cabaran dan konflik global seperti situasi di Palestin dan Myanmar.

“Sewaktu di New York, Perdana Menteri dijadual akan mengadakan satu mesyuarat meja bulat dengan syarikat-syarikat Fortune 500; sesi bersama Invest Malaysia New York; forum bersama ahli-ahli Council on Foreign Relations (CFR) dan juga temubual dengan media antarabangsa seperti Bloomberg dan CNN,” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri juga dijadual mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan-rakan sejawat di sela-sela UNGA 78 untuk membincangkan isu berkepentingan bersama.

“Pertemuan tersebut akan mengeratkan hubungan dua hala yang sedia terjalin dengan negara-negara berkenaan serta mengukuhkan persefahaman dalam isu serantau dan antarabangsa. 

“Perdana Menteri juga akan menghoskan satu majlis makan malam bagi menyantuni rakyat Malaysia di New York,” jelasnya.

KLN berkata, menteri-menteri Kabinet yang lain juga dijadual akan terlibat dalam pelbagai program yang berasingan sepanjang UNGA 78.

“Penglibatan aktif sewaktu sesi ke-78 Perhimpunan Agung PBB menggariskan komitmen Malaysia dalam mengetengahkan isu-isu yang penting kepada negara di platform pelbagai hala (multilateral) terutamanya di PBB,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Zii Jia tamatkan kemarau gelaran, juarai Terbuka Thailand

PEMAIN perseorangan lelaki utama negara, Lee Zii Jia menamatkann kemarau gelaran selama tujuh bulan apabila menjuarai Kejohanan Badminton Terbuka...

Lagi Artikel Berkaitan