26.1 C
Kuala Lumpur
Friday, May 3, 2024

Penunggang motosikal korban tertinggi nahas jalan raya

Mesti Baca

PENUNGGANG motosikal mencatat angka korban tertinggi membabitkan sebanyak 9,854 kematian akibat nahas jalan raya dalam tempoh tiga tahun dari 2021 hingga Ogos lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mat Kassim Karim, berkata statistik menunjukkan sejumlah 1.31 juta kemalangan jalan raya direkodkan di seluruh negara sepanjang tempoh itu.

Beliau berkata, pada 2021, sebanyak 370,286 nahas direkodkan meliputi 4,257 kemalangan maut yang menyaksikan 4,539 kematian, termasuk 3,112 penunggang motosikal terkorban.

“Pada 2022, sebanyak 545,588 kemalangan direkod membabitkan 5,671 kemalangan maut dengan 6,080 kematian dan daripada jumlah itu, 4,101 adalah penunggang motosikal.

“Tahun ini dari Januari hingga Ogos lalu pula, sebanyak 394,890 kemalangan direkodkan. Daripada jumlah itu, 4,067 adalah kemalangan maut dengan 4,366 kematian, termasuk 2,641 penunggang motosikal,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, Kuala Lumpur.

Beliau berkata, penyumbang kedua tertinggi kematian akibat kemalangan maut adalah pengguna kereta.

Advertisements

Menurutnya, pengguna kereta mencatat 742 kematian pada 2021, diikuti 2022 (1,089) dan meningkat kepada 1,114 korban tahun ini untuk tempoh lapan bulan hingga Ogos lalu.

Mat Kassim berkata, walaupun pihak JPST dan agensi penguat kuasa lain kerap mengadakan operasi terhadap penunggang motosikal termasuk aktiviti perlumbaan haram, jumlah kemalangan membabitkan kenderaan itu terus meningkat saban tahun.

“Banyak kemalangan jalan raya yang membabitkan penunggang motosikal berlaku akibat kecuaian mereka sendiri, selain tidak berdisiplin.

“Menunggang motosikal secara cuai dan berbahaya menyumbang kepada berlakunya kemalangan. Banyak kes kemalangan yang kita siasat, didapati tiada ‘brake mark’, maknanya mereka berlanggar secara mendadak.

“Ramai juga menunggang motosikal secara laju, melanggar lampu merah, dan ada yang menggunakan telefon bimbit, sedangkan kita selalu pesan supaya mereka mematuhi peraturan bagi mengelak berlaku kemalangan,” katanya.

Katanya, selain itu, ramai pelajar menunggang motosikal ke sekolah atau tempat lain, terutama di kawasan luar bandar, justeru ibu bapa dinasihatkan memantau dan memastikan anak mereka sudah mempunyai lesen. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

Malaysia melangkah bergaya ke separuh akhir Piala Thomas

MALAYSIA melangkah ke separuh akhir Piala Thomas selepas membenam juara edisi 2014, Jepun 3-1 di peringkat suku akhir Pusat...

Lagi Artikel Berkaitan