28.4 C
Kuala Lumpur
Tuesday, May 7, 2024

Statistik kematian di jalan raya meningkat – Ikatan

Mesti Baca

KERAJAAN digesa menunjukkan keazaman politik yang kukuh dalam pelaksanaan langkah keselamatan jalan raya secara menyeluruh bagi mengurangkan kemalangan dan mengawal jumlah kematian yang tinggi sepanjang tahun, dengan berkomunikasi secara efektif.

Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat (Ikatan), Tan Sri Lee Lam Thye, berkata kerajaan juga sepatutnya meningkatkan kesedaran dalam kalangan orang ramai melalui penguatkuasaan, pendidikan dan libat urus dengan pihak berkepentingan.

“Ikatan amat bimbang dengan jumlah 6,433 kematian pada 2023, iaitu yang tertinggi dalam tempoh sejak lima tahun lalu, lebih tinggi berbanding statistik 6,284 kematian pada 2018.

“Kenaikan tujuh peratus dalam kematian di jalan raya tahun lalu berbanding statistik kematian pada 2022, adalah petanda jelas bahawa komitmen, fokus dan hasrat Kerajaan Persekutuan untuk mengurangkan serta mengawal kemalangan jalan raya telah gagal,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut mencadangkan Kementerian Pengangkutan (MoT) untuk memikirkan semula langkah komunikasi dan mesej kempen berkaitan advokasi serta kesedaran keselamatan jalan raya melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Advertisements

“MoT perlu mengendalikan komunikasi yang konsisten dan serius sepanjang tahun pada semua peringkat dengan pihak berkepentingan berkaitan sebagaimana digariskan dalam Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia 2022-2030,” katanya.

Lam Thye berkata, MoT sepatutnya meminta kerjasama daripada semua agensi, kementerian dan syarikat berkaitan kerajaan bagi melaksanakan langkah keselamatan untuk pekerja mereka, termasuk memakai tali pinggang keselamatan di tempat duduk belakang serta topi keledar keselamatan ketika dalam perjalanan.

Katanya, antara lain, perlu diwujudkan satu pasukan petugas komunikasi khas untuk setiap lima daerah terburuk di Malaysia yang mencatat jumlah kematian di jalan raya tahunan tertinggi.

“Transformasi peranan dan fungsi Majlis Keselamatan Jalan Raya perlu menjadi titik fokus komunikasi di setiap negeri. Komuniti tempatan, terutama ibu bapa kepada penunggang motosikal yang muda, perlu dilibatkan melalui program ‘outreach’ yang konsisten.

“Justeru, kami amat berharap kerajaan akan menghidupkan semula komitmen dan fokusnya untuk menyelamatkan nyawa di jalan raya dengan rancangan komunikasi yang jelas sepanjang tahun,” katanya. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

PRK KKB: 97 peratus pengundi awal tunai tanggungjawab

SEBANYAK 97 peratus daripada 769 pengundi awal terdiri daripada anggota polis dan tentera serta pasangan menunaikan tanggungjawab masing-masing pada...

Lagi Artikel Berkaitan