MENTERI Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, kerajaan tidak menolak sebarang kemungkinan untuk memperkenalkan semula Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) di negara ini.
Bercakap dalam sidang akhbar di lobi Parlimen, Rafizi berkata, segalanya berpandukan kepada strategi kerajaan dalam mencapai dan memperluaskan hasil pendapatan negara.
Katanya, ini termasuk fokus kepada membangunkan Cukai Keuntungan Modal yang dijadualkan bakal dikuatkuasakan pada 2024.
“Kerajaan akan berpegang kepada strategi kami dan terbuka untuk melaksanakan apa jua cara bagi mencapai kemampanan fiskal melalui sumber yang lebih luas.
“Oleh itu, sama ada ia akan menjadi GST, Cukai Keuntungan Modal atau sebarang bentuk cukai langsung dan tidak langsung, kami hanya akan memutuskan berdasarkan kes ke kes atau tahun ke tahun.
“Sebarang pengumuman berkenaan pengenalan cukai akan dibuat menteri kewangan menerusi pembentangan bajet,” katanya seperti dilapor Sinar Harian hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Mac lalu berkata, negara belum bersedia melaksanakan semula GST kerana tahap pendapatan rakyat masih rendah.
GST telah diperkenalkan pada 2015 oleh Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak sebelum ia dimansuhkan pada 2018 dan digantikan semula dengan sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).