26.6 C
Kuala Lumpur
Monday, December 2, 2024

Isu gaji punca ramai bekerja di Singapura

Mesti Baca

NEGARA tidak mempunyai masalah bakat dalam kalangan rakyat, sebaliknya berdepan dengan isu gaji sehingga menyebabkan ramai lari ke Singapura untuk mencari peluang pekerjaan.

Memetik laporan Berita Harian, Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong, berkata sekiranya negara membayar dua pertiga gaji di Singapura, Malaysia tidak akan berdepan masalah bakat.

“Kita ada lebih sejuta rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura dengan gaji yang rendah.

“Sekiranya kita boleh menghasilkan produk yang mempunyai kerumitan lebih tinggi dan membayar gaji yang mahal, maka ramai yang boleh bekerja di sini dan bukan bekerja di Singapura,” katanya ketika menggulung perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, hari ini.

Chin Tong, berkata jumlah pekerjaan sektor pembuatan dijangka akan meningkat kepada 3.3 juta pada tahun 2030 pada kadar pertumbuhan (CAGR) 2.3 peratus.

Katanya, trajektori pertumbuhan pekerjaan itu mengambil kira peningkatan dalam aktiviti bernilai tambah tinggi dan industri baharu serta kesan langsung peningkatan adaptasi automasi dan pendigitalan dalam sektor pembuatan.

“Melalui Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030, gaji penengah bagi sektor pembuatan dijangka meningkat daripada RM1,976.00 (2021) kepada RM4,510.00 atau CAGR 9.6 peratus pada tahun 2030.

Advertisements

“Unjuran gaji penengah ini adalah turut berdasarkan penglibatan sektor pembuatan dalam aktiviti bernilai tambah tinggi, peningkatan produktiviti dan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi,” katanya.

Menjawab mengenai sejauh mana kerajaan mengambil perhatian dan mempertimbangkan Kelantan sebagai lokasi pembangunan ekonomi baharu, Chin Tong, berkata pelbagai inisiatif dilaksanakan untuk memastikan Kelantan sesuai sebagai lokasi pelaburan terpilih.

Katanya, antara projek dilaksanakan adalah Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Kelantan yang akan mewujudkan peluang pekerjaan sebanyak 253,975 menjelang 2047.

“Projek itu juga dijangka meningkatkan jumlah pelancong tempatan sehingga 21.9 juta dan pelancong asing sehingga 0.55 juta ke Kelantan pada tahun 2027, peningkatan sebanyak 97.4 peratus berbanding 2019,” katanya.

Selain itu, katanya kerajaan juga menyediakan pelbagai insentif untuk menarik pelabur, antaranya insentif cukai, bantuan kewangan dan kemudahan seperti pembangunan infrastruktur di taman industri.

“Pelbagai inisiatif dilaksanakan oleh kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri untuk memastikan Kelantan sesuai sebagai lokasi pelaburan terpilih di negara ini.

“Hasil pembangunan Projek ECRL akan merangsang ekonomi di Kelantan termasuk kesan limpahan bagi pertumbuhan sektor-sektor lain,” katanya. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

PAPTI rangka pelbagai program sambut jubli emas tahun depan

PERSATUAN Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI) merangka pelbagai program  bagi menyambut Ulang Tahun Jubli Emas Ke-50 penubuhannya tahun depan. Presiden...

Lagi Artikel Berkaitan