27.5 C
Kuala Lumpur
Sunday, April 28, 2024

Kekurangan tenaga buruh di Sabah jejaskan bekalan minyak sawit

Situasi itu dijangka bertambah buruk jika ramai pekerja ladang dari Indonesia meninggalkan Sabah untuk bekerja di Kalimantan

Mesti Baca

KEKURANGAN tenaga buruh yang dialami pengusaha ladang kelapa sawit di Sabah ketika ini dibimbangi menyebabkan pengeluaran minyak sawit, termasuk untuk keperluan pengguna tempatan semakin terjejas.

Parti Warisan (WARISAN) mendakwa situasi berkenaan antara kemungkinan menyebabkan minyak sawit bersubsidi di negeri ini sukar diperolehi.

Ahli Majlis Tertinggi Parti Warisan (WARISAN), Assaffal P Alian, berkata kekurangan tenaga buruh menyebabkan pengusaha ladang kelapa sawit tidak dapat memaksimumkan pengeluaran hasil komoditi itu.

Katanya, situasi itu dijangka bertambah buruk jika ramai pekerja ladang dari Indonesia meninggalkan negeri ini untuk bekerja di Kalimantan berikutan pembukaan ibu kota baharu negara itu di Nusantara bermula tahun depan.

“WARISAN percaya kekurangan minyak masak bersubsidi di negeri ini bukan sahaja disebabkan pengeksportan atau penyeludupan minyak masak bersubsidi ke negara jiran tetapi juga disebabkan isu tenaga buruh untuk menuai buah kelapa sawit.

“Kita amat bersimpati dengan nasib pekebun kecil yang tidak dapat memaksimumkan keuntungan kerana kekurangan tenaga buruh dan pada masa sama pula dikehendaki untuk membayar cukai jualan 7.5 peratus.

“Namun apa yang lebih membimbangkan kita ialah nasib rakyat Sabah yang memerlukan minyak masak bersubsidi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tungku itu berkata, kemungkinan penghijrahan beramai-ramai pekerja Indonesia dari Sabah ke Kalimantan untuk bekerja di sektor pembangunan wilayah itu selain ancaman El-Nino, masalah kekurangan minyak masak bersubsidi atau kenaikan harga secara mendadak pasti berulang.

Katanya, kerajaan negeri Sabah harus bersedia untuk menghadapi kemungkinan itu dan mengambil langkah drastik bagi memastikan sektor perladangan kelapa sawit di negeri ini tidak terus terjejas.

Advertisements

“Sebelum ini kita beranggapan bahawa kekurangan minyak masak adalah disebabkan aktiviti menyorok dan penyeludupan tetapi apabila memeriksa laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mengenai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Negeri 2022, kita mendapati anggapan itu tidak tepat.

“DOSM melaporkan bahawa sektor pertanian Sabah jatuh sebanyak 0.2 peratus disebabkan penguncupan dalam subsektor tanaman, terutamanya aktiviti kelapa sawit.

“Semakan lanjut kemudian mendapati daripada laporan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) bahawa pengeluaran minyak sawit mentah (CPO) di Sabah merosot sebanyak 1.7 peratus daripada 4.36 juta tan pada 2021 kepada 4.29 juta tan pada 2022,” katanya.

Beliau berkata, laporan MPOB turut menunjukkan pengeluaran minyak sawit mentah di Semenanjung dan Sarawak pada tahun lalu masing-masing meningkat sebanyak 3.2 peratus dan 2.5 peratus kepada 10.16 juta tan dan 4.01 juta tan.

Katanya, hasil tandan buah segar (FFB) di Semenanjung dan Sarawak juga masing-masing meningkat sebanyak satu peratus dan 1.4 peratus kepada 16.41 tan sehektar dan 14.13 tan sehektar pada 2022, berbanding Sabah yang mencatat penurunan 2.4 peratus kepada 15.39 tan sehektar.

Sementara itu, Timbalan Presiden WARISAN, Datuk Darell Leiking, berkata kerajaan negeri perlu mengkaji, mempertingkatkan dan mengurus industri kelapa sawit di Sabah dengan sebaiknya bagi memastikan ia memberi manfaat kepada rakyat negeri ini secara langsung.

“Oleh kerana perkara berkaitan dengan tenaga buruh dalam industri minyak sawit berada di bawah garis panduan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO), maka adalah penting untuk kerajaan negeri memainkan peranan sebagai fasilitator terutama dari segi dokumentasi pekerja.

“Kerajaan negeri juga perlu menimbangkan untuk mengurangkan cukai jualan 7.5 peratus ke atas minyak sawit mentah yang membebankan pekebun kecil ketika mereka beroperasi tanpa keuntungan maksimum dan menyemaknya semula selepas semua isu penting diselesaikan,” katanya. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

Sultan Selangor ingatkan jemaah haji kekalkan disiplin diri

SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan bakal-bakal haji dari negeri itu agar mengekalkan disiplin diri semasa berada di...

Lagi Artikel Berkaitan