FORUM Invest Malaysia New York mampu menarik minat dan mengutuhkan keyakinan pelabur untuk datang melabur ke negara ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, forum tersebut telah menarik minat para pelabur pasaran modal ekuiti dan bon dengan nilai aset di bawah pengurusan mencecah RM187.6 trilion.
“Invest Malaysia New York mengetengahkan hala tuju negara yang dibina melalui Kerangka Ekonomi Madani, disokong Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara serta Kajian Separuh Penggal RMK-12.
“Kerangka ini menjadi panduan dalam mencapai matlamat pembangunan negara serta memacu pertumbuhan ekonomi yang mampan. Ucaptama saya disusuli dengan sesi interaksi dengan para pelabur.
“Saya yakin forum ini dapat menarik minat dan mengutuhkan keyakinan pelabur untuk ke Malaysia,” katanya menerusi catatan di Facebook hari ini.
Dianggar lebih 200 delegasi menghadiri di Invest Malaysia New York yang dianjurkan Bursa Malaysia bersama Bank of America, CIMB, HSBC, Maybank dan Standard Chartered.
Turut hadir dalam sesi itu adalah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Gabenor Bank Negara, Datuk Shaik Abdul Rasheed Abdul Ghaffour.
Hadir sama dalam forum adalah Pengerusi Bursa Malaysia, Tan Sri Abdul Wahid Omar; Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift dan Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Datuk Seri Dr. Awang Adek Hussin. – Edisi 9