PERJALANAN seninya bermula ketika menjadi salah seorang peserta program realiti popular terbitan Astro iaitu Akademi Fantasia musim ke-13 pada 2016.
Nasib menyebelahinya pada tahun 2019 apabila dinobatkan sebagai Naib Juara di pertandingan berprestij Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-33 menerusi lagu Bunga dari situ, bintang bernama Ara Johari mula bersinar.
Selepas hampir setahun, Ara, 26, kembali melalui lagu terbaharunya berjudul Sudah.
Sudah hasil ciptaan komposer terkenal, Hang Nadim serta Laq, dan liriknya ditulis oleh Bulan Penuh, serta diterbitkan oleh label terkemuka tanah air, Rocketfuel Entertainment.
“Saya bukannya tidak mahu muncul dengan lagu baharu, tetapi proses pembikinan lagu ini mengambil masa yang agak lama dan saya hendak pastikan ianya betul-betul bermutu, barulah saya akan lancarkannya.
“Lagu ini sudah pun ada sejak 2019 lagi dan hanya berada dalam simpanan, abang Zimi kata sudah sampai masanya lagu ini dikeluarkan, jadi kami putuskan untuk lancarkannya pada tahun ini juga,” kata pemilik nama sebenar Nurfarrah Izzatie Johari ini.
Sudah adalah single bergenre balada rock dengan vibe lagu-lagu di era 90-an yang ‘hits’, sama seperti single Bunga yang pernah fenomena suatu ketika dahulu.
“Sebenarnya, ramai peminat yang mahukan lagu seperti Bunga dihasilkan semula dan lagu ini adalah jawapannya dan hadiah untuk mereka semua.
“Jalan ceritanya pula mengisahkan tentang sebuah perhubungan yang dibina bertahun lamanya, banyak dugaan yang dihadapi bersama.
“Apabila hanya sebelah pihak sahaja yang setia dan tidak sebaliknya, walaupun selepas banyak peluang telah diberikan demi mempertahankan hubungan itu, namun akhirnya dikhianati juga.
“Saya berharap semua pendengar dapat menerima lagu Sudah ini dengan sebaiknya dan semoga liriknya ‘bisa’ membuat rakyat Malaysia semakin ‘galau’.
Lagu Sudah boleh dimuat turun di iTunes dan boleh juga dijadikan sebagai nada dering panggilan menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengar dan nikmati pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian pilihan utama seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music.
Manakala lirik video ini boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube Rocketfuel Network. -Edisi 9