27.2 C
Kuala Lumpur
Tuesday, May 7, 2024

Nadeera jenamakan semula dirinya dengan ‘Emas’

Mesti Baca

KERJA kerasnya selama beberapa minggu membuahkan hasil apabila penyanyi Nadeera diangkat sebagai juara pada program realiti nyanyian Big Stage musim kelima.

Sejak program itu berakhir awal Julai lalu, karier seni penama penuh Farah Nadeera Zaini ini kian rancak.

Nadeera, 30, juga sepakat dengan pengurusannya untuk menjenamakan semula namanya bagi mengukuhkan lagi perjalanannya dalam bidang seni tempatan dan antarabangsa.

“Selepas berbincang dengan pengurusan dan bertanya pendapat dengan mereka yang profesional, saya kini hanya mahu dikenali dengan satu nama sahaja iaitu Nadeera.

“Sebelum ini, saya pernah dikenali dengan nama Nadeera Zaini, Farah Nadeera serta nama-nama lain seperti Nadeera Mentor Legend, Nadeera Lagu Cinta Kita dan Nadeera Big Stage.

“Keputusan kami adalah untuk membawa nama Nadeera sahaja kerana percaya nama itu boleh memberi nafas baharu terhadap kerjaya seni saya. Saya berharap penjenamaan semula ini membawa tuah dalam bidang seni.

“Saya juga mempunyai perancangan jangka masa panjang untuk melebarkan sayap sekitar nusantara serta ke peringkat antarabangsa, jadi penjenamaan ini tepat sebagai ‘kelahiran’ semula Nadeera,” katanya.

Nadeera berkata, penjenamaan semula ini juga bersesuaian dengan kewujudan syarikat pengurusan yang mengatur perjalanan seninya iaitu Woodwind Records.

“Ini adalah syarikat pengurusan baharu yang bakal tampil dengan pelbagai idea segar serta bakal mengelola kerjaya muzik bakat-bakat berpotensi. 

“Woodwind Records mempunyai pelbagai perancangan untuk merencana perjalanan saya dalam bidang muzik,” katanya.

Dalam pada itu, Nadeera turut mengambil peluang melancarkan single terbaharunya berjudul Emas.

Emas dicipta oleh Omar K, Iqie Hugh dan Firdaus Rahmat manakala liriknya adalah nukilan mereka bertiga bersama penyanyi Datin Alyah.

Mahu lari daripada kebiasaan single sebelum ini yang bertemakan cinta, Emas adalah karya yang memfokuskan tema kebangkitan dan semangat.

Advertisements

“Perjalanan single Emas agak berliku. Saya danpengurusan mencari naskhah yang sesuai selepas tamatnya Big Stage dan perjalanannya tidak mudah.

“Saya mahukan sesuatu yang berbeza dan mahu ia meninggalkan impak bermakna untuk peminat yang menantikan lagu daripada saya.

“Selepas berbincang dan berdiskusi mencari material yang sesuai, kami sepakat untuk menjadikan Emas sebagai single perdana pasca kejuaraan Big Stage.

“Ia bercerita mengenai semangat dan kebangkitan, sesuai dengan perjalanan baharu saya selepas memenangi pertandingan itu.

“Saya akui, rasa bagai ‘dilahirkan’ semula selepas menjuarai Big Stage. Sekali lagi, saya diberi peluang untuk menyerlahkan bakat dan kali ini, saya tidak mahu sia-siakan perjalanan yang baru sahaja bermula.

“Saya tidak mahu leka dan enggan nama kembali ‘suam’, jadi saya mencari sesuatu seperti Emas untuk diketengahkan.

“Emas menampilkan isi hati saya yang benar-benar berharap untuk bersinar dalam industri muzik selepas melalui fasa jatuh bangun sejak tahun 2012.

“Platform yang saya ada kali ini dianggap sebagai peluang berharga untuk saya menyerlahkan bakat,” katanya.

Bercerita mengenai pengalaman ketika merakamkan lagu Emas, Nadeera mengambil masa sembilan jam di studio rakaman untuk menyempurnakan karya ini.

“Proses rakaman berjalan lancar tetapi saya sendiri mengambil masa sembilan jam di studio rakaman.

“Memandangkan lagu ini mempunyai makna tersendiri dan sangat melekat dalam hati saya, saya mengambil masa sedikit untuk mendapatkan penjiwaan sebenar.

“Saya mahu benar-benar berpuas hati dan menceritakan maksud sebenar lagu ini ketika proses rakaman dijalankan.

“Saya dan pengurusan mahu sampaikan roh dan jiwa lagu Emas. Naskhah ini sangat dekat dengan diri saya dan saya berharap ia dapat diterima orang ramai,” katanya lagi. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

MASA, IDS jalin kerjasama bidang penyelidikan, masyarakat

INSTITUT Kajian Pembangunan (Sabah) IDS dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA), hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bertujuan menjalin...

Lagi Artikel Berkaitan