DATUK Seri Anwar Ibrahim mencipta sejarah apabila menjadi pemimpin dunia pertama yang menyampaikan khutbah Jumaat di Islamic Cultural Centre of New York (ICCNY), Amerika Syarikat (AS).
Penghormatan itu diberikan oleh komuniti Islam di bandar raya itu dalam rangka kunjungan Perdana Menteri bagi menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) Ke-78.
Menurut Anwar, menerusi khutbah tersebut beliau berkongsi pengalaman Malaysia dalam menguruskan masyarakat berbilang kaum dan agama sekali gus dapat hidup rukun damai dan harmoni.
Beliau berkata, umat Islam juga diseru untuk mengukuhkan perpaduan sesama mereka, tonjolkan hikmah serta memperoleh maklumat dan pengetahuan.
“Saya mengambil kesempatan ini juga untuk menjelaskan konsep Malaysia Madani yang diperkenalkan di Malaysia serta menyentuh ancaman Islamofobia di seluruh dunia yang memerlukan kesepakatan umat untuk menoktahkannya,” katanya menerusi media sosial beliau hari ini.
Perdana Menteri berkata, usai solat Jumaat beliau diminta untuk menyempurnakan proses lafaz shahadah seorang individu yang berhasrat memeluk agama Islam.
“Saya juga menyampaikan sumbangan al-Quran kepada pihak ICCNY untuk kegunaan komuniti Islam di sini (New York),” katanya. – Edisi 9