DATIN Noor Kartini menolak dakwaan warganet yang menuduh anaknya yang juga adik Neelofa, Ameera Khan berjudi lumba kuda ketika berada di luar negara, baru-baru ini.
Noor Kartini berkata, Ameera menghadiri satu majlis pelancaran beg tangan jenama antarabangsa dan bukannya menghadiri acara lumba kuda.
Tuduhan tidak berasas warganet itu membuatkan dia berang dan tidak dapat menahan diri dan perlu membetulkan salah faham itu.
“Warganet harus faham majlis yang diadakan dengan tempat perjudian berbeza. Ameera ke sana kerana menghadiri pelancaran jenama beg tangan.
“Saya bersuara kerana rasa geram bila mereka tidak tahu cerita sebenar dan terus membuat tuduhan hanya dengan melihat gambar sahaja,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran tudung Naelofar X Disney di IOI Mall Putrajaya, hari ini.
Kartini berkata, dia sudah pun memadamkan hantaran di Instagram mengenai perkara itu kerana sudah menjelaskan salah faham yang berlaku.
“Ameera masih di bawah perlindungan dan jagaan saya, sebab itu saya rasa perlu bersuara,” katanya.

Sementara itu, Ameera yang ditemui pada majlis sama hanya memberi komen ringkas mengenai perkara berkenaan.
“Apa sahaja yang saya pilih untuk ditunjukkan di Instagram adalah kerana itu yang saya pilih.
Fikirlah apa yang kamu mahu fikir. Tugas saya adalah bekerja,” katanya.
Terdahulu, pada 11 September lalu, Ameera mencetuskan kontroversi apabila memuat naik gambar dia di sebuah tempat dipercayai kelab lumba kuda.
Rata-rata warganet membuat andaian dia ke sana kerana menyertai perlumbaan kuda atau perjudian.
Fitnah itu turut menimbulkan rasa tidak puas hati Noor Kartini yang menyelar tindakan biadap pihak yang menuduh anaknya sedang berjudi. -Edisi 9