26.4 C
Kuala Lumpur
Saturday, May 4, 2024

Aina sasar 10,000 hadir saksi konsert ANWAA 3.0 November ini

Mesti Baca

BERIKUTAN kejayaan dua konsert solonya sebelum ini, A Night With Aina Abdul (‘ANWAA’) kembali lagi dengan konsert epik ANWAA 3.0.

Dengan imej estetiknya, Aina Abdul kali ini mengadakan konsert dalam skala yang lebih besar dan menyasarkan 10,000 penonton akan hadir ke Axiata Arena, Bukit Jalil pada 18 November depan.

Konsert gilang-gemilang itu dianjurkan oleh Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN) yang turut menyaksikan Aina Abdul Entertainment (AAE) selaku penganjur bersama.

Berkongsi perasaannya mengenai konsert ‘ANWAA’ 3.0 ini, Aina berkata, dia terharu dan sangat bersyukur kerana konsert kali ini diberi peluang bekerjasama dengan PRIHATIN dalam melaksanakan konsert solo berskala besar di lokasi yang cukup gah.

“Sejujurnya sudah lama saya mengimpikan untuk mengadakan konsert berskala besar seperti ini selepas kejayaan konsert di Istana budaya tahun lalu.

“Saya memang berhasrat mahu menjayakan konsert di pentas yang lebih besar kerana sokongan peminat yang banyak memberi semangat dan menyokong konsert saya sebelum ini.

“Pastinya ia juga menjadi impian setiap penghibur untuk mengadakan konsert di Axiata Arena, begitu juga dengan saya apatah lagi ‘momen’ bersejarah yang pernah terukir di Axiata ketika menjayakan Anugerah Juara Lagu membuatkan saya teruja untuk mengadakan persembahan di sana,” katanya pada sidang media konsert berkenaan, baru-baru ini.

Konsert A Night With Aina Abdul 3.0 akan dijayakan bersama PRIHATIN.

Pada konsert kali ini, Aina bakal mempersembahkan rangkaian 33 buah lagu hits termasuk medley bertemakan gabungan genre moden serta irama klasik yang akan diiringi oleh barisan pemuzik profesional orkestra dan band di bawah pimpinan pengarah muzik tersohor iaitu Mac Chew.

“Saya akan tampil dengan konsep berbeza terutamanya daripada pelbagai aspek, supaya dapat beri kepuasan kepada peminat. 

Advertisements

“Jika di Istana Budaya saya mengerahkan hampir 60 peratus idea, kini saya akan tambah lagi 40 peratus agar ianya memberi impak buat peminat yang menyokong karier saya selama ini.

“Saya akan berikan persembahan yang terbaik di ‘ANWAA’ 3.0 ini sebagai tanda penghargaan kepada peminat setia saya, khususnya kelab peminat saya, Aination yang tidak pernah berhenti sokong saya dan menjadi pembakar semangat saya,” katanya.

Pada sidang media dan pelancaran konsert A Night with Aina Abdul 3.0 yang diadakan di Bukit Bintang itu turut menyaksikan ratusan peminat setianya hadir dengan tema merah. 

Aina turut mempersembahkan 3 buah lagu iaitu Jangan Mati Rasa Itu, Fool dan Terus Hidup sebagai simbolik kepada pelancaran konsert berkenaan.

Dalam pada itu, Aina berkata harga tiket konsert kali ini agak fleksibel berikutan dia prihatin dan mendengar keluhan peminat mengenai harga tiket yang mahal pada konsertnya yang terdahulu.

“Saya terima banyak komen daripada orang ramai di media sosial mengenai harga tiket yang agak mahal, untuk tiket konsert yang akan dibawakan kali ini harganya agak berpatutan dan mampu milik, jadi saya berharap peminat akan datang ke konsert saya nanti,” katanya lagi.

Penganjuran konsert ‘ANWAA’ 3.0 pada kali ini Aina turut menyokong inisiatif untuk menggerakkan misi mengumpul dana dengan menyalurkan sebahagian daripada hasil jualan tiket kepada Tabung Kasih PRIHATIN khusus bagi kegunaan dan manfaat pendidikan pelajar yang tidak berkemampuan dalam kategori B40 dan asnaf di peringkat institut pengajian tinggi.

Konsert ’ANWAA’ 3.0 ini juga disokong oleh Kementerian Komunikasi Dan Digital menerusi MyCreative Ventures serta turut diserikan dengan kehadiran B De Paris selaku Rakan Pengurusan Konsert, ERA & SINAR selaku Radio Rasmi dan ticket2u selaku Platform Jualan Tiket Rasmi.

Tiket untuk menyaksikan konsert ANWAA’ 3.0 dijual dengan harga RM98 (Silver), RM188 (Gold), RM258 (Platinum), RM288 (VIP), RM388 (VVIP) dan RM488 (MIP) bermula esok di www.ainaabdul.my. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

UMNO sambut baik pengumuman PM naikkan gaji 15 peratus

UMNO menyambut baik dan menyokong penuh pengumuman Perdana Menteri untuk menaikkan gaji penjawat awam sebanyak 15 peratus mulai 1...

Lagi Artikel Berkaitan