WANITA UMNO terus menunjukkan sokongan mereka terhadap Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi apabila mengadakan Himpunan Solidariti Wanita Bersama Presiden UMNO, semalam.
Bertempat di Dewan Tun Hussein Onn Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur, sayap Wanita yang dipimpin oleh Datuk Seri Dr Noraini Ahmad sebulat suara menyatakan sokongan mereka kepada Presiden UMNO itu selaku pemimpin tertinggi.
“Ini adalah tanda sokongan kami sebagai cara menunjukkan sokongan serta mempertahankan kepimpinan presiden kami,” kata Noraini.
Dianggarkan lebih 1,000 orang perwakilan Wanita UMNO dari seluruh negara berkumpul menyatakan sokongan kepada Ahmad Zahid.
Mereka yang hadir membawa plakad tanda sokongan serta menyertai bacaan ikrar mempertahankan institusi presiden parti itu.
Pada majlis itu juga, beberapa perwakilan yang berucap menyeru ahli UMNO supaya mencontohi parti lawan termasuk PAS yang sentiasa mempertahankan kepimpinan parti meskipun ketika tewas.
Pada asalnya Ahmad Zahid dijadualkan tidak hadir di program berkenaan.
Namun begitu, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu membuat kejutan apabila tiba-tiba hadir dan kedatangannya disambut dengan sorakan gemuruh daripada semua perwakilan.
Ahmad Zahid juga turut menerima gelaran ‘ayahanda’ secara rasmi daripada Wanita UMNO pada perhimpunan itu.
“Saya ayahanda bukan ayah, secara rasmi mulai hari ini saya adalah ayahanda,” katanya. -Edisi 9