25.8 C
Kuala Lumpur
Thursday, May 2, 2024

Tumpu kes mahkamah dari desak saya letak jawatan – PM

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

“TUMPU kes mahkamah daripada desak saya letak jawatan, saya masih ada sokongan majoriti,”itu kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata demikian susulan desakan Tan Sri Muhyiddin Yassin terhadapnya supaya meletakkan jawatan.

Menurut Anwar, beliau masih mempunyai sokongan majoriti dua pertiga daripada ahli Parlimen dan akan kekal menerajui Putrajaya.

“Kita kekal kemenangan, masih dapat dua pertiga Ahli Parlimen, dia (Muhyiddin) buat perkiraan apa, saya nasihatkan dia tumpu kes mahkamah,” katanya yang juga Menteri Kewangan. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pecah Tanah Residensi Wilayah dan Residensi Prihatin Madani serta Pusat Penjaja Madani di Jalan Tasik Selatan 2A Desa Tasik.

Terdahulu, Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) mendesak Anwar dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk meletak jawatan susulan kemenangan majoriti PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini.

Sementara itu, mengulas mengenai majlis pecah tanah tersebut, Anwar berkata, pembangunan di kawasan tersebut merangkumi tiga komponen utama iaitu Residensi Wilayah, Residensi Prihatin Madani dan Pusat Penjaja Madani.

Advertisements

“Sebanyak 1,010 unit rumah mampu milik bakal ditawarkan kepada yang berkelayakan di tapak seluas 3.4 ekar.

“Residensi Wilayah melibatkan pembangunan 910 unit rumah dengan keluasan 902 kaki persegi bagi jenis satu dan 908 kaki persegi bagi jenis dua. Harga jualan ialah RM300,000.00 seunit.

“Residensi Prihatin MADANI pula melibatkan pembangunan 100 unit berkeluasan 902 kaki persegi dengan harga jualan RM200,000.00 seunit.

“Unit-unit ini akan ditawarkan kepada kumpulan sasar M40 dan ke bawah yang belum memiliki kediaman,”katanya.

Beliau berkata, Pusat Penjaja MADANI juga bakal dibina bersebelahan Kompleks Sukan Desa Tasik di atas tanah seluas 0.4 ekar.

“Pusat Penjaja MADANI ini bakal dilengkapi dengan kemudahan tempat letak kereta, surau dan ruang makan yang luas,”katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Wanita perlu jaga darjat, jangan bergaduh kerana ‘buaya’

USAHAWAN selebriti, Datin Thalia Baiduri menitip pesan kepada semua wanita agar sentiasa menjaga darjat serta nilai diri masing-masing. Baginya tidak perlu...

Lagi Artikel Berkaitan