28.8 C
Kuala Lumpur
Thursday, December 12, 2024

Sebar fitnah: Da’i Syed mahu saman dua wanita

Mesti Baca

PENDAKWAH selebriti, Da’i Syed bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap dua individu yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadapnya di media sosial.

Pemilik nama Syed Shah Iqmal Syed Mohamad Shaiful, 28, itu berkata, dia nekad dengan keputusan berkenaan berikutan fitnah yang disebarkan turut mengaitkan keguguran yang dialami isterinya, Nurul Hana Ismail pada 26 Julai lalu dengan kifarah di atas perbuatan terdahulu.

“Individu terbabit mengaitkan peristiwa keguguran kandungan isteri saya sebagai kifarah yang saya terima disebabkan kes terbabit.

“Apabila kenyataan awal (berkaitan dakwaan rogol) diterbitkan semula dan dikaitkan dengan keguguran kandungan isteri saya, saya tak boleh berdiam diri lagi kerana ini adalah sesuatu yang amat melampaui batas.

“Individu itu juga dilihat seolah-olah cuba mengambil kesempatan di atas kesedihan yang dialami oleh saya dan isteri.

“Perkara ini adalah satu kenyataan salah yang sengaja diada-adakan,” katanya pada satu sidang media khas yang disiarkan secara langsung di media sosial, hari ini.

Hadir sama, isterinya serta peguam mereka, Syed Amirul Syed Edros.

Terdahulu, Syed pernah dituduh merogol seorang wanita namun dia dibebaskan pada April lalu selepas mahkamah memutuskan kes prima facie tidak berjaya dibuktikan oleh pihak pendakwaan.

Advertisements

Minggu lalu, wanita sama didakwa memuat naik semula kisah mengenai kes rogol membabitkan Syed di media sosialnya hingga tular.

Individu sama turut mengaitkan anak dalam kandungan isterinya yang gugur adalah disebabkan kifarah di atas perbuatan rogol yang didakwa dilakukan oleh Syed.

Manakala, seorang lagi individu akan dikenakan tindakan undang-undang disebabkan menyebarkan fitnah yang diterbitkan pada 23 November 2021.

“Individu itu pernah membuat laporan polis pada 26 November 2021 menyatakan dia bertanggungjawab sebagai individu yang memuat naik hantaran dan memohon maaf kerana memfitnah saya.

“Laporan polis yang dibuat olehnya sebelum ini tak dapat menidakkan tindakannya yang telah memfitnah saya malahan melalui laporan yang sama, dia sendiri mengakui bertanggungjawab terhadap fitnah terbabit,” katanya.

Syed berkata, dia tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap sesiapa yang memfitnah dia dan keluarganya.

“Jangan salah langkah hingga melemparkan tohmahan yang melampaui batas terhadap saya.

“Saya tidak teragak-agak untuk memulakan tindakan undang-undang ke atas mereka yang telah memfitnah saya,” katanya lagi. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

Sukuk Wakalah Samaiden terima penarafan RAM

SAMAIDEN Group Berhad, pakar tenaga boleh diperbaharui (RE) yang terlibat terutamanya dalam kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) dan...

Lagi Artikel Berkaitan